Bajet 2021: Lebihkan Perhatian Kepada Wanita Muda – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Sebagai sayap parti yang sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat, terutamanya Wanita Muda, Pergerakan Puteri UMNO menyarankan agar lebih banyak peruntukan diberi bagi golangan wanita dalam bajet 2021 yang akan dibentangkan kelak.

Kata Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, sekarang ini terdapat lebih 2.5 juta wanita yang tidak bekerja.

“Ini adalah pembaziran tenaga kerja sedia ada yang mana sebahagiannya sudah terlatih di dalam bidang-bidang tertentu.

“Langkah pertama adalah memberi peruntukan bagi pusat-pusat asuhan kanak-kanak agar ibu-ibu muda ini menimbangkan untuk kembali bekerja.

“Disebabkan kos untuk menjaga anak-anak mereka ini tersangat tinggi terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, ianya tidak memberi faedah untuk kaum ibu ini kembali bekerja dengan meletak anak-anak mereka di pusat asuhan kanak-kanak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Zahida, dengan gaji yang mereka perolehi, golongan ibu muda terpaksa membayar kos-kos pusat asuhan yang tinggi dan ianya tidak berbaloi.

Ulasnya lagi, memandangkan krisis ekonomi akan menjadi bertambah teruk, adalah disyorkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan agar dapat membantu pendapatan isi rumah yang lebih tinggi.

“Peruntukan bagi menampung kos-kos ini dapat memberi kaum wanita ini memperoleh sedikit lebihan gaji yang dapat membantu keluarga mereka.

“Dalam bajet yang akan dibentangkan tidak lama lagi, adalah menjadi harapan rakyat agar penderitaan dan kesusahan mereka di ambil kira,” katanya.

Seterusnya kata Zahida, dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di tempat-tempat utama negara iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang pada pengiraan kasar menyumbang sehingga 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ramai telah terjejas pendapatan mereka terutama peniaga-peniaga kecil.

“Bantuan dengan tidak perlu membayar ansuran-ansuran bank (moratorium) amat membantu rakyat sehingga September lalu.

“Jadi mohon moratorium ini dilanjutkan sehingga Disember dengan perbincangan bersasar di antara peminjam dan pihak bank,” sarannya.

Bagi menghargai pengorbanan para Frontliners yang terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, tentera dan semua penjawat awam yang terlibat, Puteri UMNO mencadangkan elaun khas secara ‘one-off’ sebanyak RM1,000 diberikan, cadangnya.

“Saya juga menyarankan satu sistem yang akan menolong bank-bank pula diadakan yang mana bank-bank diberi pelonggaran di dalam kepatuhan kepada ‘liquidity ratio’ dan sebagainya diwujudkan bagi membantu bank-bank tersebut memperolehi aliran tunai yang lebih tinggi dengan tujuan untuk membantu golongan peminjam yang memerlukan.

“Kerajaan juga boleh menyediakan dana untuk menolong bank-bank komersial menambah baik aliran tunai mereka bagi tujuan yang sama.

“Dengan menangguhkan bayaran balik kepada peminjam mereka buat seketika ini, bank-bank juga akan terkesan operasi mereka dengan ketiadaan aliran tunai,” katanya.

Begitu juga ujarnya, di dalam situasi krisis pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini, majoriti rakyat di setiap peringkat mengharapkan Bajet 2021 dan bantuan daripada kerajaan dapat dimanfaatkan sebaiknya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.