Iniasiatif NCER Dijangka Tingkatkan Kdnk Perlis Kepada RM7.1 Bilion – MB Perlis

KANGAR, 27 Okt – Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi inisiatif digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 adalah dasar untuk pelaksanaan pelbagai projek pemangkin dan program modal insan untuk rakyat yang sedang dilaksanakan di Perlis.

Ia juga bagi meningkatkan lagi ekonomi negeri itu ketika seluruh dunia menghadapi persekitaran kewangan yang mencabar.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata sehingga hujung bulan September, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menyaksikan pelaburan terkumpul di Perlis lebih daripada RM530 juta sementara lebih 350 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan.

“Menerusi inisiatif SDP 2021-2025, NCER, ia dijangka bakal meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Perlis kepada RM7.1 bilion selain mencipta lebih 5,700 peluang pekerjaan baharu dan 1,400 usahawan.

“Kerajaan Negeri Perlis kini sedang berganding bahu dengan NCIA dalam melaksanakan pendekatan tiga-serampang seperti yang termaktub di dalam SDP bagi menyediakan pembangunan modal insan, merancakkan pertumbuhan pelaburan serta meningkatkan keterhubungan dan infrastruktur strategik dalam memastikan kewujudan peluang pekerjaan dan mata pencarian rakyat terjamin,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan NCIA, semalam.

Azlan berkata salah sebuah projek utama yang diharap dapat memulakan proses pemulihan ekonomi di Perlis ialah Chuping Valley Industrial Area (CVIA), kerja-kerja pembinaan bagi menyiapkan Fasa Pertama pembangunan CVIA yang berkeluasan 440 ekar itu kini sedang rancak dijalankan dan dijadual siap pada Jun, 2022.

“Pelaburan melebihi RM460 juta di samping lebih 600 peluang pekerjaan baharu kini sedang dalam perancangan terdiri dari syarikat-syarikat yang terlibat dalam bidang pembuatan peralatan kesihatan, elektrik dan elektronik, pendidikan serta industri pertanian pintar.

“Meskipun berdepan dengan wabak pandemik, CVIA masih lagi berupaya menarik minat pelabur menerusi potensi sedia ada bagi meransang pertumbuhan kawasan berkenaan dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang berasaskan inovasi serta intensif pengetahuan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata sebanyak lebih dari 12,000 peluang pekerjaan bakal diadakan apabila kawasan pembangunan yang jumlah keluasan 2,488 ekar ini disiapkan sepenuhnya kelak.

Pembangunan dan keberhasilan CVIA ini penting bagi negeri Perlis memandangkan ia merupakan taman perindustrian utama bagi aktiviti ekonomi yang dapat diwujudkan bersama sebagai model lestari dan bakal memiliki jaringan saling menguntungkan dengan industri serta fungsi sokongan berkaitan, seterusnya merancakkan lagi pemulihan sosioekonomi rakyat,” kata Azlan.

“Terletak secara strategik berhampiran Sempadan Thailand, antara projek penting lain di Perlis ialah Perlis Inland Port (PIP). PIP kini bakal meningkatkan lagi jaringan logistik dari Sempadan Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang serta bakal merancakkan lagi pembangunan bersepadu di kawasan Lembah Chuping yang merangkumi CVIA dan Lembah Agro Chuping (CAV) dengan memanfaatkan kerjasama serantau Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

“Sebagai pelengkap kepada pembangunan di Lembah Chuping, CAV merupakan rangkaian-bio pertanian bersepadu yang menyasarkan tanaman alternatif berkualiti tinggi dalam empat sektor agro-makanan yang merangkumi ubi kayu bagi penghasilan kanji, nanas premium MD2, mangga harum manis serta pengeluaran makanan ternakan berasaskan produk sampingan kanji ubi kayu dan biomas,” katanya.

Azlan berkata pelaburan Strategik NCIA, Projek Berimpak Tinggi dan Program Modal Insan amat penting dalam menyokong dan mempercepatkan lagi kebangkitan semula ekonomi negeri Perlis menerusi penciptaan peluang pekerjaan serta kegiatan ekonomi untuk rakyat”, katanya.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,800 peserta di kalangan belia, wanita dan graduan menganggur di Perlis yang mendapat manfaat dari Program Modal Insan yang dijalankan oleh NCIA menerusi empower NCER, entrepreneur NCER dan NCER Talent Enhancement Programme (NTEP), setakat ini program Dana Usahawan Bumiputera (DUB) pula telah berjaya mewujudkan 43 buah pekerjaan baharu, katanya.

“Program-program bersepadu ini bakal menyediakan pembangunan kemahiran keusahawanan yang diperlukan, pendidikan, penempatan pekerjaan, bantuan perniagaan dan kewangan untuk kumpulan sasaran serta insentif kepada sektor swasta dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Manakala JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER adalah program fast-track NCIA yang menyasarkan penyediaan lebih 400 peluang pekerjaan dan usahawan bagi membantu mereka yang terkesan akibat wabak pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata keperluan segera rakyat ketika ini ialah peluang pekerjaan serta pemulihan aktiviti ekonomi.

“Kami komited memastikan usaha-usaha berkenaan bakal merancakkan lagi proses pemulihan sosioekonomi rakyat pasca-COVID-19. Semua pemegang taruh dalam NCER seharusnya terus bekerjasama secara bersepadu dalam memerangi persekitaran ekonomi yang mencabar ini demi kepentingan rakyat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.