Tolak Ke Tepi Pertimbangan Politik, Sama-Sama Putuskan Rangkaian COVID-19

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Seluruh rakyat hari diajak untuk sama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 tanpa perlu mengambil kira atau risaukan pertimbangan politik.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata dengan tiadanya pengisytiharan darurat atas keputusan mesyuarat Raja-Raja Melayu membawa satu sinar baru untuk seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu bekerja bersama-sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membasmi penularan wabak COVID-19 dari terus meningkat dengan mematuhi sepenuhnya standard SOP dan penjarakan sosial pada tahap yang paling maksimum.

“Malaysia digemparkan dengan berita PM mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi cadangan berkaitan keputusan Mesyuarat Kabinet supaya pelaksanaan darurat mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini dapat di laksanakan dengan kadar segera.

“Namun begitu Yang di-Pertuan Agong mengambil inisiatif dengan bermesyuarat terlebih dahulu dengan sembilan Raja-Raja Melayu untuk menentukan adakah cadangan PM serta Kabinet baik untuk rakyat atau sebaliknya. Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu serta melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas Norshida, Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak dan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

“Terima kasih Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di atas keputusan yang terbaik untuk rakyat. Kita perlu ingat bahawa darurat hanya membawa satu maksud dan ia tidak sepatutnya membebankan rakyat. Rakyat perlu diberi pemakluman awal dalam apa sahaja keputusan yang bakal dilakukan oleh kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat marhaen di negera Malaysia.

“Kita masih mempunyai ruang yang luas, terutama dalam konteks ekonomi, untuk berunding, seperti juga ketika kita berdepan masalah pandemik dengan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh negara berbanding dengan cadangan perlaksanaan darurat politik dengan alasan pandemik Covid 19 dalam Negara,” ujarnya.

Ujar Norshida kerajaan Perikatan Nasional seharusnya mampu menangani sebarang isu dengan melakukan rundingan dengan ahli politik lain untuk pastikan negara berada pada tahap baik, terutamanya ketika pandemik COVID-19 berada di tahap tiga angka pada setiap hari.

Dalam hal ini, jelasnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh melaksanakan tindakan lebih keras seperti perintah kawalan pergerakan lebih ketat atau kawalan di sempadan dipertingkatkan dengan lebih hebat.

“Kita perlu bergading bahu mencari solusi bagaimana kita mahu menguruskan punca utama peningkatan kes jangkitan baharu seperti yang kita lihat sekarang, iaitu selepas pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini. Kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh kempen pada PRN Sabah itu menjadikan keadaan bertambah teruk dalam negara Malaysia.

“Setakat tempoh sama juga, kira-kira 24 kluster baharu dikesan di luar Sabah yang kes indeksnya ada sejarah perjalanan ke negeri berkenaan. Jika kita ikuti perkembangan penularan dalam gelombang ketiga ini, pasti tahu bahawa jumlah kes, kluster dan kematian baharu amat membimbangkan. Insya-Allah kita mampu harunginya bersama,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.