Jadikan Malaysia Sebagai Hab Syarikat Permulaan Penting Bagi Tarik Tenaga Kerja Global

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Malaysia perlu menjadi hab untuk syarikat permulaan bagi menarik tenaga kerja keusahawanan global yang terbaik untuk ditempatkan di negara ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ekosistem keusahawanan negara setanding dengan yang terbaik di dunia, tetapi Malaysia perlu melaksanakan penjenamaan yang lebih baik untuk mendapat tumpuan.

“Kita perlu meningkatkan lagi usaha mengenai kedudukan kita. Banyak negara menarik jumlah tenaga kerja terhad yang sama. Jika kita tidak berbuat demikian, kita akan ketinggalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata demikian pada perbincangan panel bertajuk ‘Reflect, Reset and Reform – Thriving in the New World’ di persidangan teknologi eNation anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan sebagai negara yang mahir berbahasa Inggeris, budaya yang pelbagai, pendaftaran pendidikan pengajian tinggi peringkat tinggi, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berada di kedudukan tinggi dalam indeks global dari segi daya saing dan mudah menjalankan perniagaan.

“Insentif yang kita tawarkan setanding dengan mana-mana insentif di rantau ini. Ia mengenai penjenamaan persekitaran ini,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan mengenai ekosistem menyeluruh yang mampan, menyatakan bahawa ia lebih daripada hanya mewujudkan pejabat perdagangan dan menawarkan insentif cukai.

Bagi menarik tenaga kerja yang terbaik, katanya negara perlu mempunyai misi dan menunjukkan matlamatnya, seperti mengurangkan jejak karbon atau memastikan kesaksamaan kekayaan atau pendapatan.

Khairy juga berkata Malaysia perlu menempatkan kedudukannya sebagai ekonomi terbuka, berdasarkan pasaran domestik yang agak kecil.

“Syarikat permulaan kita perlu mengisi kekosongan dan tidak takut untuk bersaing dengan syarikat teknologi antarabangsa yang besar untuk menawarkan perkhidmatan. Pada masa sama, mereka juga tidak perlu takut untuk menangani isu pengawalseliaan yang besar,” katanya.

Khairy menggesa semua pihak berkepentingan dalam ekosistem, daripada badan kerajaan hingga perniagaan, untuk menerima perubahan berikutan pandemik COVID-19.

“Ia memberi kita peluang untuk mempercepatkan perubahan yang banyak kerajaan menangguhkannya dari segi perubahan struktur kepada ekonomi, perubahan yang dunia korporat perlu lakukan sejak dahulu dari segi pendigitalan, automasi dan robotik,” katanya.

Beliau berkata malah, perusahaan kecil dan sederhana, yang kebanyakannya sebelum ini menolak keperluan untuk melabur dalam pendigitalan, tidak mempunyai pilihan selain menerima perubahan untuk meneruskan perniagaan mereka.

Khairy turut mengkaji kemungkinan untuk mengutip cukai digital daripada syarikat teknologi antarabangsa yang besar berikutan mereka mengewangkan data negara.

“Kita perlu mempunyai perbincangan ini di peringkat pelbagai hala mengenai pengewangan oleh syarikat teknologi besar berikutan mereka akan terlepas daripadanya,” katanya.

Beliau turut menekankan nilai simpati dan empati terhadap perniagaan berikutan sekatan pergerakan memberi tahap impak yang berbeza kepada individu, syarikat atau sektor.

“Jangan memandang rendah nilai simpati atau empati dalam perniagaan. Penting untuk kita melihat ini juga dari segi pelaburan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.