Seruan “Gencatan Politik” Mesej UMNO Mahu Tumpu Agenda Rakyat Bukan PRU Awal

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Keputusan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendukung Kerajaan Perikatan Nasional bermaksud tiada lagi desakan terhadap kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum lebih awal.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, nasihat Presiden UMNO itu agar semua pihak melakukan gencatan politik membawa maksud bahawa Ahmad Zahid mahu agar agenda rakyat diberi tumpuan.

“Gencatan politik. Bermaksud meminimakan mainan politik kepartian yang tidak disukai rakyat sebaliknya menumpu kepada agenda rakyat khususnya menangani cabaran ekonomi dan kesihatan.

Dalam kenyataan ringkas semalam, AHmad Zahid menekankan bahawa UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Coronavirus (Covid-19) dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.

Katanya, ia juga bagi memastikan kegelisahan rakyat akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

“Saya juga ingin menekankan pendirian UMNO mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

“UMNO juga mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung mereka akibat kesan ekonomi dan Covid-19,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

Sementara itu, Shahril berkata, keikhlasan semua pihak amat diperlukan selepas Ahmad Zahid membuat keputusan kukuh untuk mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, segala perbincangan ke arah kerjasama antara parti sewajarnya diserahkan kepada pihak yang telah diberikan tanggungjawab.

“Perkukuh kerjasama antara parti demi kestabilan. Di sini perlu keikhlasan dan biarlah sebarang rundingan dilaksanakan oleh mereka yang diberi amanah, di belakang tabir,” kata Shahril Sufian.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk anggota UMNO mendesak agar PRU dilakukan segera berikutan majoriti tipis iaitu dua kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Majoriti tipis itu menyebabkan kedudukan PN tidak stabil sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun sebagai Kerajaan Persekutuan.

Ini lebih-lebih lagi selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional termasuk UMNO menyokongnya untuk mengambilalih pemerintahan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Anwar malah telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  untuk mempersembahkan bilangan sokongan yang diperolehinya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.-SM

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.