Berilah Tambahan RM1,000 Kepada Setiap Penerima BPN Sabah – Najib

KUALA LUMPUR, 21 Okt- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata seramai 737,797 rakyat Sabah dari golongan B40 dan M40 telah diluluskan bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tahun ini.

Katanya, ianya tidak keterlaluan untuk kerajaan tambah bantuan tunai RM1,000 khusus bagi penerima BPN Sabah.

“Sabah paling terkesan dalam gelombang ketiga COVID-19. Lebih 70 peratus kes COVID-19 seluruh negara direkodkan di Sabah. Seluruh Sabah telah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB). Ada juga beberapa daerah sudah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang jauh lebih ketat sejak tiga minggu lalu. Memandang situasi COVID-19 terkini, besar kemungkinan PKPB dan PKPD akan dilanjutkan lagi.

“Jika golongan yang memerlukan tidak diberi lebih bantuan, mereka akan terpaksa melanggar PKP yang dilanjutkan untuk keluar bekerja. Dengan ini, penularan COVID-19 di Sabah tidak akan berhenti dan negara akan terus mencatat jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

“Memberi bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah cuma menelan kos RM737 juta. Ini jauh lebih rendah dari cukai jualan petroleum sebanyak RM2.9 bilion yang dibayar kepada Sarawak bulan lepas,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Saran Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, kerajaan perlu memberi tambahan RM1,000 untuk semua warga Sabah.

“Bayaran tambahan wang tunai RM1,000 (‘Cash is king’ yang dibenci Mahathir) terus ke dalam akaun bank penerima BPN yang sudah ada rekod adalah jauh lebih pantas dan ‘efficient’ berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

“Lanjutkan juga moratorium pinjaman secara pukal bagi seluruh Sabah (jika tidak mahu beri kepada seluruh negara) sekurang-kurang 3 bulan lagi. Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negeri yang berlanjutan dan kes COVID-19 yang terus tinggi, bagaimana warga Sabah mampu membayar ansuran pinjaman bulanan? soalnya.

Jika keengganan kerajaan untuk memberi bantuan tambahan kepada penerima BPN Sabah berpunca daripada kebimbangan kadar defisit negara menjadi lebih tinggi, kerajaan perlu ingat bahawa pengiraan kadar defisit adalah berdasarkan jumlah defisit dibagi dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, tambah Najib lagi.

“Jika rakyat tidak dibantu dan dana tidak disuntik ke dalam ekonomi tempatan yang telah terhenti akibat PKP seluruh negeri, maka ramai perniagaan akan tutup dan pekerja dibuang. Ini akan turunkan KDNK negara. Bila KDNK negara turun, maka kadar defisit akan naik juga walaupun jumlah defisit tidak bertambah.

“Kerajaan PN sudah pinda undang-undang untuk naikkan had pinjaman kerajaan kepada KDNK dari 55 peratus kepada 65 peratus seperti saranan saya pada bulan April. Kenaikan had ini adalah bersamaan dengan ruang tambahan pinjaman sebanyak RM150 bilion,’ katanya.

Justeru tambah Najib lagi, mengurus ekonomi negara tidak sama dengan mengurus sebuah syarikat atau bank di mana banyak faktor-faktor yang bersangkut paut.

“Sektor pelancongan yang merupakan antara sektor utama Sabah sedang hancur dengan sekatan rentas daerah dan larangan untuk kemasukan pelawat dari negeri-negeri lain Malaysia dan negara asing. Ekonomi tempatan banyak bergantung kepada pelancongan,” ujarnya.

Jangan sudah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilupakan pula, tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan