Gangguan Air 18 Kali, 18 Kali Peluang MB Selangor Hidu Air, Sinis Najib

KUALA LUMPUR, 20 Okt – “Syukur! Gangguan air di Selangor sebanyak 18 kali sejak bulan Mac sehingga kini memberi peluang kepada MB (Menteri Besar-Datuk Seri Amirudin Shaari) untuk hidu air 18 kali.

“CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Air Selangor selamba sahaja,” sinis Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dalam satu hantaran di Facebook.

Saran Perdana Menteri Keenam itu, sepatutnya Air Selangor perlu membina lebih banyak Kolam Takungan Hiliran ‘Off River Storage’ (ORS) berhampiran dengan loji-loji air, cukup untuk membekalkan air kepada loji bagi tempoh beberapa hari sahaja pada ketika air dari sungai tercemar.

“Selepas air sungai tidak tercemar, ORS ini boleh diisikan semula.

“Jangan tiap-tiap kali sungai tercemar, tiap-tiap kali bekalan air terganggu,” bidasnya lagi.

Jelas Najib lagi, melaksanakan dan mempercepatkan projek-projek ORS dalam tempoh krisis COVID-19 boleh mewujudkan peluang pekerjaan baru di samping mengambil kesempatan kos pembinaan yang lebih rendah.

“Rakyat tak larat nak tengok lagi gambar-gambar MB hidu air atau dengar alasan “ini mungkin sabotaj” atau kilang mana yang cemarkan sungai.

“Rakyat nak dengar dan tengok rancangan Air Selangor untuk memastikan bekalan air tidak lagi terputus akibat pencemaran air pada masa hadapan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, bulan lalu gangguan bekalan air berlaku di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat apabila operasi empat loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor yang berpunca dari kilang haram.

Manakala dalam bulan ini sahaja, telah berlaku dua kali gangguan bekalan air bagi kawasan Lembah Klang dalam masa selang beberapa hari sahaja, tambahan pula ketika rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.