1 Nov Sambutan Genap Setahun Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Setiausaha Agung I Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa berkata sambutan genap setahun MN dijangka akan disambut pada 1 Nov depan.

Ujarnya dalam satu ciapan di Twitter, urus setia telah diarahkan untuk menyusun program secara norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

“Insya-Alah sambutan genap setahun MN bakal disambut 1hb November jam 8.00 malam.

“Urusetia sambutan diarahkan menyusun program secara norma baru dan pematuhan SOP sepenuhnya.

“Yang pasti ia melibatkan sambutan secara maya… dan tiada himpunan besar-besaran,” katanya lagi.

Dalam twitnya yang berasingan, berhubung persetujuan UMNO dan PAS untuk mendaftarkan MN secara rasmi di Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Annuar berkata ia merupakan satu usaha ke arah penyatuan yang lebih luas.

“Kepimpinan telah capai sepakat yang penting. UMNO dan PAS bersetuju terus berikhtiar ke arah penyatuan yang lebih luas,” tambahnya.

Hari ini, kepimpinan UMNO dan PAS telah bersetuju untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

“Kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang,” ujar kenyataan tersebut yang ditandatangi Annuar dan juga Setiausaha Agung II MN yang juga Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Untuk rekod, pada 14 Sept tahun lalu, piagam MN ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini pada Himpunan Penyatuan Ummah.

Piagam tersebut mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Antara komitmen Piagam Muafakat Nasional adalah seperti menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.

Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.