Penjenamaan UMNO Melangkaui Politik Kepartian

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Lewat ini, terlalu banyak spekulasi dan mainan politik yang berlangsung. Ramai pengamal politik yang dalam media menekankan perlunya memfokus kepada rakyat, fokus kepada Covid-19, mendahulukan ketenteraman negara dan sebagainya.

UMNO tidak ketinggalan dalam soal ini.

Namun, dalam era politik masakini, cakap mesti serupa bikin. Jika hanya cakap tidak mahu berpolitik 24 jam tetapi tindakan sebalik daripadanya, rakyat akan tambah meluat kepada orang politik.

Maka kita yang menjadi pengamal politik khususnya UMNO ada tanggungjawab untuk cakap serupa bikin. Bermakna, masa kita, akal kita, keringat kita, perlu juga diluangkan kepada urusan-urusan perihal rakyat.

Kita mesti berfikir, berbahas, berbincang soal dasar dan pembangunan pro rakyat dalam jumlah sama atau lebih banyak daripada masa yang diluangkan untuk urusan taktikal politik seperti pengagihan kerusi, hendak kawan dengan siapa, hendak jawatan apa, hendak dominasi apa dan macam-macam lagi persoalan yang sejujurnya kurang diendah oleh rakyat.

Jika tidak semua pun, pemimpin-pemimpin parti mesti ada pendirian dan daya pemikiran mendalam berhubung urusan-urusan kenegaraan ini. Kalau sebaliknya, kita tidak ubah seperti full-time politician yang hanya memikirkan kepentingan parti semata-mata yakni memuaskan cita-cita kuasa baik individu mahupun kepartian. Ini adalah resipi kepada penolakan rakyat, terutamanya orang muda yang majoritinya tidak ada dan tidak mahu ada kesetiaan mutlak kepada mana-mana individu atau parti.

Dalam soal ini, jenama tawaran UMNO amat mustahak. Pengundi boleh disegmen kepada pelbagai lapisan tetapi untuk memudahkan hujah saya dalam posting ini, saya gambarkan 3 jenis pengundi

– Pengundi tegar parti. Buat apa pun dia dah tahu parti apa dia akan pangkah.

– Pengundi yang tiada kesetiaan parti. Tak sayang mana-mana pihak dan tidak juga benci sehingga menolak mutlak.

– Pengundi sinis yang mungkin tidak mahu mengundi pun pada PRU kerana marah kepada semua pengamal politik. Golongan ini semakin lama semakin besar dan perlu dipujuk dan ditarik untuk tidak “give up” terhadap sistem politik.

Kelompok pengundi kedua dan ketiga inilah yang menjadi penentu. Mungkin jumlahnya 30%, mungkin 40% – wallahualam. Tetapi mereka yang menentukan keputusan PRU secara keseluruhannya. Mereka lazimnya muda, lazimnya tidak terbabit dengan mana-mana parti dan bukan mengikuti perkembangan politik dengan teramat rapat.

Apa jenama UMNO untuk kelompok ini?

Adakah kita mahu kekal sebagai parti politik yang bergerak atas kekuatan khidmat baktinya? Selalu menolong rakyat di kawasan sendiri? Mungkin boleh – tetapi saya musykil ini cukup kuat untuk dijadikan jenama dan formula kemenangan dikalangan pengundi muda dan atas pagar yang menjadi penentu. Mereka mahukan harapan. Mereka mahukan kepimpinan. Mereka mahu visi dengan tema jelas bukan hanya komen dan tindakan reaktif kepada isu semasa. Bila isu itu dah tak panas, habis.

Natijahnya, kita perlu ada jenama untuk dikomunikasikan. Jenama yang sampai kepada sasaran 30% swing voters itu. Jenama yang berasaskan tema jelas supaya rakyat dapat merasakan apa itu semangat identiti UMNO dalam dunia kontemporari.

Jika situasi dan senario politik mengizinkan, saya akan cuba melaksana sesuatu dalam soal ini. Tetapi sebagai permulaan, ini antara prinsip dan ruang lingkup (tidak lengkap) yang saya percaya wajar dijadikan dasar.

1. Ekonomi

Apa jenama kita dalam soal ekonomi rakyat? Apa idea hebat kita untuk menambah pendapatan dan mengurangkan pengangguran? Sedangkan kita tahu golongan mana yang paling terkesan dari pengangguran.

Kalau sekadar menawarkan projek mega semula, saya tak rasa boleh jual.

Kalau sekadar dalam manifesto memberi potongan cukai dan kaedah-kaedah biasa untuk tambah pelaburan dengan harapan ia datang dengan peluang pekerjaan, semua orang cakap benda sama.

Kalau sekadar minta tambah pinjaman, geran agensi untuk usahawan, tak selesai pun masalah struktur.

Perlu ada daya penarik khususnya untuk orang muda yang menghadapi masa depan cukup suram jika tiada tindakan agresif dibuat. Daya penarik yang sehingga anak muda kembali meletakkan harapan masa depan mereka kepada UMNO. Apa contoh daya penarik itu?

2. Perumahan

Apa “game changer” untuk perumahan rakyat sedangkan lebih sejuta isi rumah masih tidak memiliki rumah. Kita tahu golongan mana majoriti yang tidak memiliki rumah ini. Umur apa. Kaum apa. Adakah kita sedia lupakan agenda pemilikan rumah dan membantu pasaran sewa sahaja?

Adakah kita ada kajian dan cadangan bagaimana melaksana projek perumahan rakyat dengan inisiatif nasional memastikan kos tanah yang rendah? Adakah kita ada usaha ke arah aspek perundangan untuk meletakkan sesuatu syarat mengenai harga siling mengikut tahap pendapatan lokaliti?

Atau masih seperti sebelum ini menjanjikan ratusan ribu atau jutaan rumah mampu milik tanpa perincian harga, lokasi dan sebagainya?

Saya tak rasa memadai. Mungkin saya salah, tetapi kena bicarakan.

3. PTPTN

Umum mengetahui ini antara janji besar yang gagal dilaksanakan Pakatan Harapan. Tetapi jelas ia juga menjadi antara isu yang dipandang serius oleh pengundi muda. Sanggupkah kita mencadangkan idea radikal “debt jubilee” yakni memaafkan hutang terus, atau memberi “tax credit” dan mekanisme serupa?

Atau kita masih tidak mahu terima bahawa struktur pembiayaan dan pembayaran PTPTN itu sendiri mungkin bermasalah dari segi asasnya dan trend peningkatan jumlah hutang tak berbayar akan terus naik?

Adakah kita mahu kekal dalam paradigma lazim iaitu menjanjikan formula lama – diskaun, biasiswa dll dengan harapan rakyat akan anggap zaman BN lebih baik dari zaman PH jadi cukup sekadar itu? Saya tidak rasa memadai. Mungkin saya silap, tapi kena bicarakan.

4. Tawaran Sabah/Sarawak

Pengalaman PRN Sabah cukup menunjukkan bahawa dinamika politik berbeza dari Semenanjung. Jika UMNO mahu daya tarikan sendiri yang tidak bergantung harap kepada GRS/PN, apakah tarikan itu? Saya tidak mahu ulas bab ini terlalu panjang kerana barangkali orang Sabah lebih arif dan saya tidak mahu menyentuh sensitiviti autonomi dan sebagainya. Cukup sekadar mengatakan pada pandangan saya, perlu ada sesuatu yang segar. Sesuatu yang mengiktiraf perasaan berhubung isu MA63. Sesuatu yang menjanjikan transformasi infrastruktur baik dari segi jalan, sekolah, telekomunikasi.

5. Alam Sekitar

Kita tidak celik politik jika kita menganggap hanya golongan NGO kecil yang merasakan isu alam sekitar ini penting. Mungkin dulu, ya. Tetapi zaman sekarang, ramai anak muda sudah tahu dan arif mengenai isu sejagat ini.

Adakah kita mahu menjuarai satu pendekatan segar mengenai dasar tenaga kita? Meletakkan transformasi total ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai suatu aspirasi dalam satu penggal, misalnya?

Banyak perkara lain yang perlu difikirkan jika bercakap tentang tawaran yang mahu dihidangkan kepada kelompok atas pagar.

Perlu dibicarakan. Tak semua idea saya pasti betul. Mungkin ada idea lain. Mungkin ada yang menganggap cukup sekadar memainkan isu ICERD, isu Tabung Haji dan sewaktu dengannya untuk menaikkan sentimen pengundi. Saya tak rasa mencukupi untuk golongan sasaran yang dimaksudkan.

Sekali lagi, tak semestinya saya betul. Tetapi yang saya yakin betul: dialog penjenamaan UMNO itu perlu berjalan sekarang. Kerana jenama sekarang kalau lihat laporan-laporan media, banyak menyentuh isu politik kepartian. Sudah ramai pimpinan parti yang kerap menyentuh isu tersebut – barangkali perlu ada dikalangan kita yang fokus kepada isu lain.

Saya cuba, insya Allah. Semoga rakan-rakan dalam parti juga mahu terbabit sama.

Wallahualam.

Shahril Hamdan

Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.