PKPB Benarkan Ekonomi Dan Rantaian Bekalan Diteruskan Tanpa Gangguan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan ekonomi dan rantaian bekalan diteruskan meskipun terdapat sekatan pada sektor sosial dan pendidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau mengakui usaha untuk melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi berikutan COVID-19 ini merupakan satu cabaran.

“(Tetapi) kehilangan keseimbangan bermakna kehilangan nyawa dan mata pencarian. PKPB membolehkan ekonomi dan rantaian bekalan diteruskan tanpa gangguan tetapi, sekatan dikenakan ke atas sektor sosial dan pendidikan,” kata beliau dalam hantaran Twitternya.

Ini berikutan PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19 dan selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Bilangan kes baharu COVID-19 di Malaysia kekal tiga digit dengan 563 kes baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 16,220 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan turut meningkat kepada 5,039 kes, dengan dua kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kematian akibat pandemik ini sebanyak 159.

Pada sidang media yang diadakan semalam, Noor Hisham berkata walaupun kes baharu dicatatkan kurang daripada 100 setiap hari, ia berselerak dan mula menular di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

Kerajaan tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon-zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bukan hanya bergantung kepada kes positif seharian tetapi juga perlu melihat kepada corak penularan jangkitan dalam sesebuah negeri.

“Jadi, sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan jangkitan menular setiap daerah dalam negeri dan terus mencatat kes baharu secara berselerak di Selangor dan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Putrajaya), ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, dalam perutusan khas minggu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sekali lagi setakat ini kerana ia boleh meruntuhkan ekonomi negara.

“Setakat ini, kita tidak memikirkan soal melaksanakan PKP di seluruh negara.

“Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara,” kata beliau.

Oleh yang demikian, beliau berkata apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.

Ekonomi Malaysia telah merosot 17.1 peratus pada suku kedua 2020 dengan negara mengenakan sekatan pergerakan yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19. Pada suku kedua 2019, negara mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.9 peratus.

Malaysia telah melaksanakan PKP pada 18 Mac, 2020 yang kemudiannya dilonggarkan ke PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan bermula 10 Jun hingga 31 Dis, 2020 dengan ekonomi dibuka secara berperingkat.

Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelumnya kerana andaian awal berdasarkan kepada tempoh sekatan pergerakan hanya empat minggu dan bukannya tujuh minggu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.