Malaysia Bakal Penerima Utama Vaksin COVID-19 Dibangunkan China – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 13 Okt – China bersetuju menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu sebaik ia berjaya dibangunkan kelak, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menteri Luar itu mengumumkan perkara berkenaan pada sidang media bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di sini, Selasa.

“Kami mengalu-alukan dan menghargai komitmen China dalam menyediakan vaksin COVID-19 buatan China, setelah berjaya dibangunkan dan menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama.

“Kami juga menyambut baik kesepakatan China untuk menggalakkan perusahaan China menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan pengedaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata Malaysia juga memantau rapat perkembangan vaksin itu dan mendapatkan vaksin menjadi keutamaan kerajaan.

“Jika kita ingin mencari jalan menangani COVID-19 hanya ada dua cara untuk melakukannya, salah satunya mencegah dengan vaksinasi, satu lagi dengan ubat,” tambahnya.

Beliau berkata China telah mengumumkan vaksin tersebut, kini sedang dibangunkan di negara itu dan dijangka dapat digunakan masyarakat umum pada awal November.

“Kunjungan (Wang Yi) ke Kuala Lumpur menjadi platform baharu bagi kita memastikan kita tidak ketinggalan dalam kerjasama dan koordinasi vaksin,” katanya.

“Di pihak kementerian luar, kita perlu terus berunding dan meyakinkan (bahawa) Malaysia membuat perjanjian diplomatik dengan rakan-rakan kita untuk memastikan kita membuat keputusan berdasarkan percubaan dan apabila diumumkan kelak, Malaysia tidak akan ketinggalan,” ujar Hishammuddin.

Dalam perkembangan berkaitan Wang berkata China mencapai kemajuan memberangsang dalam pembangunan vaksin COVID-19 dan bersedia menawarkannya kepada negara lain.

Beliau berkata daripada lapan vaksin yang sedang menjalani ujian klinikal fasa tiga, empat sedang dibangunkan China.

Tambahnya, China tidak bersetuju dengan percubaan negara-negara tertentu untuk memonopoli dan menguasai pasaran vaksin.

“Pada pandangan kami, vaksin harus disediakan untuk kegunaan kesihatan semua umat manusia. Justeru, Presiden Xi Jinping mengumumkan sebaik vaksin China dibangunkan dan tersedia, ia akan disediakan untuk kegunaan masyarakat di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi China mahu menyumbang dalam meningkatkan akses dan kemampuan vaksin untuk negara membangun.

“Malaysia adalah rakan baik China, kita menikmati persahabatan tradisional; jika ada keperluan Malaysia untuk vaksin, kami bersikap terbuka untuk itu dan kami bersedia untuk mendapatkan maklumat dan menjalinkan kerjasama mengenainya,“ kata Wang.

Memastikan keberhasilan vaksin COVID-19 menjadi misi terpenting bagi semua negara kerana virus itu terus mengganas yang sehingga kini mengorbankan lebih sejuta nyawa dan menjangkiti lebih 37.7 juta orang di seluruh dunia.

Wang memberitahu menteri-menteri luar ASEAN dalam pertemuan melalui sidang video pada September, China akan mengutamakan pengedaran vaksin ke negara-negara ASEAN selepas republik itu memenuhi keperluan domestiknya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Wang mengadakan dua pertemuan tertutup, antara lain membincangkan kaedah untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama pasca-pandemik dan memperkuat hubungan sedia ada antara Kuala Lumpur dan Beijing di samping isu global dan serantau.

Wang, yang juga Anggota Dewan Negara China, kini melakukan kunjungan rasmi ke beberapa negara ASEAN – dengan Kemboja sebagai persinggahan pertamanya – sebelum tiba di sini pada Isnin.

Beliau dijadualkan berlepas ke Singapura hari ini dan mengakhiri lawatannya dengan kunjungan ke Laos dan Thailand.

Kali terakhir beliau melawat Malaysia pada 2018. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.