Mahkamah Arah Pendakwaan Keluarkan Sebahagian Keterangan Pegawai Penyiasat SPRM

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerima hujahan Ketua Peguam Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Hisham Teh Poh Teik berkenaan bantahan terhadap keterangan bertulis Pegawai Penyiasat (IO) yang secara terus menyatakan Ahmad Zahid telah menerima dan melakukan rasuah sedangkan hanya mahkamah sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu kesalahan itu dilakukan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak bersetuju, apa sahaja yang berbentuk pendapat (opinion) dan rumusan (conclusion) daripada keterangan-keterangan Pegawai Penyiasat yang mana mengatakan, berdasarkan hasil siasatan terdapat rasuah atau jenayah dan kesemua para 36 dan 37 keterangan saksi pendakwa (SP) 89, perlu dikeluarkan secara keseluruhan.

Keterangan seperti itu tidak boleh diberikan oleh seorang Pegawai Penyiasat.

Hanya Mahkamah yang boleh putuskan. Maka keterangan ini tidak boleh diterima mahkamah dan perlu dikeluarkan daripada kenyataan bertulis saksi, kata Hisham ketika membuat hujahan beliau pagi tadi.

Hisham membantah beberapa perenggan dalam keterangan bertulis saksi ke-89, Pegawai Penyiasat Fairul Rafiq Hamiruddin yang bersifat mendahului mahkamah, inadmissible (tidak boleh diterima masuk) dan prejudis terhadap anak guamnya.

Menurut Hisham lagi, malahan saksi pendakwa ke-38, juga seorang Pegawai Penyiasat, Azlan Shah Jafril dalam keterangannya telah menyatakan bahawa tidak ada elemen rasuah didalam pemberian yang mana cheque butt (ceraian daripada buku cek) ditulis ‘charity’ (kebajikan).

“Keterangan ini dikategorikan sebagai ‘opinion’ kerana tidak ada apa-apa keterangan di hadapan mahkamah berkenaan pemberian ini adalah rasuah, selain keterangan ini mendahului mahkamah.

“Keterangan seperti ini adalah tidak boleh diterima masuk (inadmissible),” kata Hisham dengan nada tegas sambil memberi precedent kes Mahkamah Agong iaitu Alcontara dan Lin Lian Chen.

Ketua Pendakwaan Datuk Raja Rozale Raja Toran yang menyambung hujah bantahan di barisan pendakwaan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun cuba menarik perhatian mahkamah dengan mempertahankan kredibiliti dan maruah Pegawai Penyiasat sekiranya kenyataan bertulis saksi Pegawai Penyiasat dibuang secara keseluruhannya.

Raja Rozale berpendapat, adalah tidak adil untuk mengetepikan keterangan itu hanya kerana kita takut media melaporkan.

Tanpa mengambil kira maruah Orang Kena Tuduh (OKT) yang tercemar di mata masyarakat dan diadili pula oleh khalayak (public) dan bukannya mahkamah, pihak pendakwa lebih mementingkan maruah Pegawai Penyiasat dan sepatutnya dalam hal ini, tiada sesiapapun yang boleh mendahului mahkamah.

Keterangan bertulis saksi pendakwa yang membuat kesimpulan ke atas Ahmad Zahid adalah keterangan yang memudaratkan dan merosakkan nama, imej, kredibiliti tertuduh yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan yang dibuat oleh mahkamah hari ini tidak memerlukan keterangan bertulis daripada saksi pendakwa untuk membuat keterangan baharu.

Cukup dengan memadam yang bukan fakta, kata Hakim. – Suara Merdeka

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.