Kerajaan Wujud Pusat Kuarantin Transit Pendatang Tanpa Izin Di Sabah – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kerajaan akan mewujudkan pusat kuarantin transit pendatang tanpa izin di empat lokasi di Sabah bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka di depot tahanan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata golongan itu ditempatkan di pusat terbabit sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 sebelum dimasukkan ke depot tahanan.

Beliau berkata lokasi terlibat adalah di Dewan Masyarakat Menggatal, Kota Kinabalu; Dewan Masyarakat Pekan Kinarut, Papar manakala dua lagi di Sandakan iaitu Dewan Sibuga, Batu 5 dan Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16.

“Kesemua pendatang asing tanpa izin yang baru ditahan akan menjalani ujian saringan COVID-19 di pusat kuarantin transit pendatang asing tanpa izin. Jika didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala bagi mereka yang negatif pula akan dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat tersebut.

Selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari dengan keputusan ujian saringan COVID-19 kali kedua masih negatif maka mereka akan dihantar ke depot-depot tahanan,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Mengenai keperluan menambah fasiliti perubatan di Sabah, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes selain COVID-19 termasuk pembedahan trauma, kes kecemasan, wad bersalin dan lain-lain.

Beliau berkata hospital berkenaan akan dilengkapi 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan lapan pegawai perubatan dan 54 pegawai lain-lain pangkat.

“Mereka juga terdiri daripada seorang komandan, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan serta lain-lain kakitangan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan harian ke Sabah bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam urusan logistik termasuk membawa kakitngan perubatan serta sampel ujian saringan COVID-19 ke makmal di Semenanjung.

Beliau turut mengingatkan orang ramai mengenai sekatan perjalanan dari Sabah dan ke Sabah membabitkan pergerakan dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Bagaimanapun katanya, terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu seperti kecemasan,  kematian atau perkhidmatan penting. –  BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.