COVID-19: Tiga Kluster Baharu, Dua Di Kedah, Satu Di Selangor

PUTRAJAYA, 3 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu iaitu dua di Kedah dikenali Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose, manakala satu di Selangor dikenali Kluster Jelok.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Bah Lunas dikesan di Kulim, Kedah, dengan kes indeks (kes ke-11,471) mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko di Sabah.

“Lelaki berusia 35 tahun itu dikesan positif pada 30 Sept lepas dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Lunas dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Memperincikan kluster yang puncanya masih di dalam siasatan, beliau berkata 112 individu telah disaring dengan empat kes dikesan positif, 21 negatif manakala 87 masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Rose pula dikesan di Kuala Muda, Kedah dengan kes indeks (kes ke-11212) dikesan positif pada 29 Sept, selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan tujuh lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Rose dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini 477 individu dengan 81 di Kedah disaring (tujuh dikesan positif, 69 negatif dan lima masih menunggu keputusan) manakala 396 yang disaring di Pulau Pinang (satu positif, 71 negatif dan 324 masih menunggu keputusan).

Mengenai Kluster Jelok, Dr Noor Hisham berkata kes indeks (kes ke-11788) dikesan melalui saringan individu bergejala iaitu lelaki warganegara Malaysia berusia 27 tahun pada 1 Okt lepas di Hospital Sungai Buloh di sini.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Jelok dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan dengan lapan individu disaring sehingga hari ini, dan mengesan empat kes positif dan empat negatif.

Dr Noor Hisham berkata didapati trend jumlah dan pecahan kes baharu positif COVID-19 pada hari ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, di mana masih berlaku peningkatan kes di Kluster Tembok, Kedah yang mencatat 97 kes dan di Sabah yang mencatat 155 kes, dan bakinya 65 kes di beberapa negeri lain.

Katanya KKM sentiasa bersiapsiaga dan melakukan tindakan aktif dan agresif di lapangan untuk mengekang penularan COVID-19.

Antara tindakan yang dilakukan adalah melaksanakan pengesanan kontak rapat, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar bermula 11 Sept sehingga 25 Sept dan saringan bersasar di empat daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah.

Turut dilaksanakan, saringan ke atas pengunjung dari Sabah di setiap pintu masuk antarabangsa dan domestik, saringan kumpulan berisiko tinggi serta aktiviti survelan melalui pemantauan kes ‘Influenza Like Illness’ (ILI), ‘Severe Acute Respiratory Illness’ (SARI) dan saringan pra-pembedahan.

Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan agar penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.