Wanita Perlu Dilibatkan Sepenuhnya Dalam Politik, Pembuat Dasar Negara

SEREMBAN, 30 Sept – Golongan wanita perlu dilibatkan dalam politik dan peringkat membuat keputusan serta dasar negara sepenuhnya demi menjamin kestabilan sosial sekaligus menuju ke arah negara maju yang seimbang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata negara tidak boleh membazirkan sumber tenaga dan pemikiran wanita yang merupakan aset ekonomi yang penting.

“Ini bukan soal politik jantina tetapi isu aset ekonomi kita, orang politik perlu memastikan wanita selepas ini lebih ramai jadi wakil rakyat, calon dan menteri, bukan kata lelaki tidak boleh buat dasar dengan baik tapi bila ada pembabitan wanita di peringkat tertinggi, ia lagi senang difahami mereka.

“Kalau golongan ini tidak dapat diperkasakan sepenuhnya, dan hanya dilihat untuk beberapa segmen sahaja selain tidak melibatkan mereka dalam segenap lapisan pembuat keputusan, kita tidak akan sesekali menjadi negara maju, separuh daripada sumber kekuatan kita dibazirkan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat Negeri Sembilan semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata penglibatan golongan itu dalam peringkat pentadbiran dan pengurusan bukanlah sesuatu yang asing, bahkan ia membuktikan kewibawaan wanita yang tidak perlu diragui.

Dalam pada itu, mengenai peranan Kemas, beliau berkata sebagai agensi yang berada dekat dengan rakyat, Kemas boleh memainkan peranan melihat kesan ekonomi jangka sederhana susulan tamatnya pemberian moratorium akhir bulan ini.

“Tahun depan kita ada pendapatan garis kemiskinan baru, jadi Kemas mesti pastikan bahawa mana-mana keluarga yang ekonomi mereka tidak dapat pulih ataupun terus merosot, seterusnya segala program bantuan (perlu) sampai kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.