Keputusan PRN Sabah Bukti Warisan Tidak Ada Mandat Rakyat – Shahrir

JOHOR BAHRU, 28 Sept. – Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu membuktikan bahawa saranan Tan Sri Musa Aman kepada Yang Di Pertua Negeri bahawa Parti Warisan yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal tidak mempunyai cukup bilang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah tepat.

Katanya, Warisan Plus hanya memperolehi 32 kerusi dan 43.42 peratus dari undi popular walaupun menang di 23 kawasan dan merupakan parti yang mempunyai kerusi DUN terbanyak sekali.

“Namun Datuk Seri Shafie gagal meyakinkan pengundi bahawa PRN ini mampu membawa perpaduan dikalangan rakyat Sabah dan pemerintahannya selama dua tahun juga tidak berkesan membetulkan keadaan dan suasana politik di negeri itu.

“Kesilapan Yang Di Pertua Negeri menerima nasihat Datuk Seri Shafie untuk membubarkan DUN serta enggan untuk menerima bukti sokongan bagi Tan Sri Musa Aman membawa kepada keadaan dimana Tun Juhar pula yang perlu memilih antara calon Barisan Nasional dan calon PPBM,” katanya dalam kenyataan berkaitan senario politik hari ini.

Ujarnya, persetujuan Tun Juhar membubarkan DUN Sabah adalah suatu keputusan yang kurang bijaksana dan keengganan beliau menerima Tan Sri Musa membuktikan bahawa Datuk Seri Shafie sudah hilang keyakinan dewan juga suatu yang kurang bijaksana.

“Sekarang, Tun Juhar sebagai Yang Di Pertua Negeri sekali lagi menggunakan ‘kebijaksanaan’ yang sepatut ada pada jawatannya itu.

“Sebagai lambang perpaduan rakyat dan negeri, apa pun hasil dari ‘kebijaksanaan’ itu pada masa ini amat sukar membetulkan kerumitan yang telah bermula semenjak selepas PRU14 lagi.

“Apa pun keputusan Tun Juhar, ianya tidak mampu mengubati hawa nafsu pemimpin politik sesudah rakyat memberi mandat, mula-mulanya di PRU14 dan sekarang di PRN ini.

“Penyelesaian bukan di atas ‘kebijaksanaan’ Tun Juhar tapi dengan pemimpin-pemimpin PPBM di negeri dan pusat untuk mengakui cita-cita politik mereka tidak mampu menyelesaikan kemelut politik negeri Sabah.”

Tegasnya, PPBM tidak ada kaitan langsung dengan keperluan politik negeri itu dan ia diwujudkan semata-mata sebagai permainan politik elit Semenanjung.

“Haruslah pemimpin-pemimpin PPBM Sabah menyedari dan mengaku bahawa mereka akan lebih menghasilkan perpaduan dan kestabilan politik Sabah dengan meninggalkan PPBM dan kembali semula kepada UMNO.”

Soalnya, mengapa hendak menari kepada rentak pemimpin PPBM di Semenanjung?

“Apabila wakil-wakil PPBM kembali kepada UMNO dan BN, bilangan seramai 25 kerusi di dewan sudah jelas melebihi parti Shafie Apdal sebanyak 23 kerusi itu.

“Setiap perjuangan perlu kepada pengorbanan dab pengorbanan yang paling besar ialah pengorbanan ego manusia,” katanya lagi.
Dilaporkan, semalam Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin meminta tempoh bagi menentukan siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79