PKPDP Zon Melor Di Amanjaya, Kedah Tamat Hari Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) di Zon Melor, Amanjaya, Kedah yang dilanjutkan dua minggu sejak 13 Sept tamat pada hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan penamatan PKPDP itu dibuat selepas tiada kes baharu COVID-19 direkodkan di zon berkenaan sejak 14 Sept lepas.

“Sebanyak 4,931 sampel diambil di Zon Melor dan jumlah kes positif COVID-19 kekal 13 kes seperti direkodkan pada 13 Sept lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPDP di Amanjaya, Kedah bermula 27 Ogos lalu yang melibatkan tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

Bagaimanapun, pelaksanaan perintah itu di dua zon, iaitu Kenanga dan Mawar ditamatkan pada 13 Sept, manakala Zon Melor dilanjutkan hingga 27 Sept susulan 12 kes positif COVID-19 pada saringan kali kedua di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 523 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dan daripada jumlah itu, 483 individu dikompaun manakala 40 direman.

Beliau berkata kesalahan tertinggi dilaporkan melibatkan aktiviti kelab malam dengan 356 individu ditahan, tiada penjarakan fizikal (105), individu tidak memakai pelitup muka (38), individu gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (20) dan empat pendatang tanpa izin.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 75 pendatang tanpa izin ditahan selain tiga kenderaaan darat dirampas, semalam.

“Sebanyak 98 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (76), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (12),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 35,991 individu dari 33 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas dan ditempatkan di 67 hotel dan sembilan premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, 8,349 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 27,539 individu pula telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.