Tumbangkan Warisan Plus Termasuk PKR, Angkat BN Jadi Kerajaan – Bekas Pemimpin PKR

KALABAKAN, 25 Sept. – Rakyat Sabah perlu ‘Ubah Balik’ setelah melakukan kesilapan dua tahun setengah yang lalu dengan menyokong Parti Warisan sebagai kerajaan, maka Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah masa paling sesuai perbetulkan kembali keadaan, tegas bekas pemimpin PKR, Dr Md Amir Pawennari.

Beliau yang merupakan Ketua Cabang PKR Kalabakan selama dua penggal sejak 2014 adalah antara mangsa apabila berlaku perubahan kerajaan di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) pada awal tahun ini yang pada mulanya digantung keahlian selama enam bulan dan sekarang telah dipecat.

“Apa yang saya lihat sejak akhir-akhir perjuangan saya dalam PKR itu, kebebasan bersuara dalam PKR sudah tidak diberikan kepada ahli dan ada banyak puak-puak hinggakan saya sebagai ketua cabang menjadi mangsa biarpun telah bersama dalam gerakan itu sejak zaman reformasi,” katanya kepada UMNO-Online.

Untuk PRN kali ini, Dr Md Amir secara lantang menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) di Kalabakan iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) N70 Kukusan Chaya Sulaiman dan di DUN N71 Tanjung Batu Andi Suryady Bandi lantaran pelbagai kegagalan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Secara spesifik kenapa saya membantu calon BN ialah saya melihat banyak benda-benda yang tak betul dikempenkan dalam Warisan Plus sebagaimana mereka gunakan ‘Sabah for Sabahan’ yang saya anggap Warisan ini tidaklah kuat sangat berbanding dengan zaman PBS dahulu sebagai parti lokal pun…

“Dalam pentadbiran banyak berlaku penyelewengan di mana kita lihat pimpinan mereka iaitu Datuk Seri Shafie Apdal dan Peter Anthony pun pernah kena pakai baju oren SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sebab rasuah tapi senyap… kalau dia bermaruah jangan subahat… jangan gunakan naratif yang salah begitu. Saya takut orang kampung tertipu maka saya tampil ke hadapan untuk memberikan penerangan.”

Tegasnya, rakyat sengsara di bawah pentadbiran Warisan dengan contoh amat jelas melalui ekonomi Sabah.

“Dalam ekonomi, dua tahun Warisan pegang Sabah, lebih 8 peratus pada zaman BN 2017 dahulu, 2018 di bawah pentadbiran kerajaan Warisan cuma 1.5 peratus dan pada tahun lalu hanya 0.5 peratus. Bagi seorang yang belajar ekonomi tentunya tahu bahawa ini bermakna tidak ada pertumbuhan langsung.

“Setiap hari cuma bercerita pasal politik, politik, politik dan semasa saya di PH dulu… waktu mula-mula berjuang kita (PKR) sama-sama naikkan PH tapi apabila waktu Warisan naik kita tidak ada satu kerusi pun, tidak ada satu yang diberikan kepada PKR… tak apalah kami bersatu hati bantu kemenangan tapi apabila menang satu jawatan pun tidak ada dibagi orang PKR.

“Bila kita jumpa dengan dia nak minta runding, dia kata orang-orang dia pun kelaparan, maksudnya orang-orang Warisan pun perlu dibantu. Jadi tidak ada semangat kesetiakawanan, pilih kasih, isu Sempornasisasi… maksudnya banyak jawatan-jawatan dalam kerajaan ini telah diisi oleh orang-orang yang berasal dari Semporna.”

Bidasnya, sebagai kerajaan Warisan perlu berlaku adil dan janganlah nampak sangat pilih kasih atas lantikan-lantikan yang dibuat.

“Contohnya Pengarah Jabatan Air sini, orang Warisan, orang kanan dia sampaikan benda itu dibawa ke mahkamah dan mahkamah putuskan prosesnya tak betul. Ini semua perbuatan penyelewengan dan tentang janji-janji pula tak usah ceritalah.

“Baru-baru ini janji COVID-19, RM300 setiap orang dan bajetnya RM180 juta tetapi sampai sekarang rakyat masih tertunggu-tunggu.

“Kalau nak buat, buatlah secara telus macam kerajaan PN buat masuk akaun, ini tidak isi boranglah macam nak kira undi, benda-benda macam ini sebenarnya semuanya senang.”

Sehubungan itu, beliau berharap agar pengundi dapat Ubah Balik Sabah kepada pentadbiran BN dengan menumbangkan Warisan Plus dan yang bersekongkolan dengannya iaitu PKR, Dap, PAN dan UPKO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.