PRN Sabah: Rakyat Negara Jiran Sembunyi Di Pulau Berhampiran Sebelum Masuk Sabah – Polis

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat bahawa rakyat negara jiran kini bersembunyi di pulau-pulau berhampiran Sabah disyaki cuba mengganggu proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, esok.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pulau yang dijadikan lokasi persinggahan itu berada di luar wilayah Malaysia, dengan yang paling hampir ke perairan Sabah terletak dalam jarak lima batu nautika atau kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot.

“Mereka disyaki menggunakan bot berkapasiti 40 hingga 50 orang bagi setiap bot untuk bergerak. Sekarang ini mereka berada di pulau-pulau berhampiran tetapi pasukan kita (pasukan keselamatan negara) sentiasa mengawasi pergerakan mereka.

“Mereka dikesan cuba melepasi kawalan pasukan keselamatan negara dengan menunggu waktu yang sesuai untuk masuk ke sempadan negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata beberapa percubaan memasuki perairan Sabah oleh rakyat negara jiran itu berjaya dipintas dan dihalang melalui tindakan bersepadu pasukan keselamatan.

“Kawalan ketat sempadan negara terhadap kemasukan warga asing telah dimulakan sejak sebelum PRN Sabah lagi iaitu bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau juga berkata tindakan peningkatan aset pasukan keselamatan termasuk Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sudah dilaksana oleh Pesuruhjaya Polis Sabah dengan koordinasi bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Semalam, Bernama melaporkan bahawa situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah adalah terkawal dengan sejumlah 7,600 pegawai dan anggota polis diatur tugas untuk memastikan PRN Sabah berjalan dengan baik.

Seramai 1,700 anggota pula ditugaskan menjalankan kerja hakiki polis manakala 1,700 lagi dikerah untuk mengawal keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah.

Selain itu, sebanyak 73 pasukan telah ditubuhkan yang terdiri daripada 1,276 anggota dan pegawai serta dibantu 570 orang dari pelbagai agensi lain bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Sebelum ini, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dipetik sebagai berkata pasukan itu mempertingkat kawalan keselamatan di Sabah bagi melancarkan proses PRN berikutan terdapat dakwaan mengenai kemasukan migran dari negara jiran ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Ahad lepas, Bernama melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian PRN Sabah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.