DBKL Rancang Bina Lebih 1,000 Rumah Transit

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk membina lebih 1,000 unit rumah transit khusus buat golongan belia dan pasangan muda baru berkahwin sebagai rumah sementara mereka sebelum memiliki kediaman sendiri.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata projek yang dianggarkan bernilai RM200 juta itu akan dibangunkan di atas tanah milik DBKL di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama.

Menurutnya cadangan itu telah disampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan majlis pecah tanah dijangka diadakan akhir tahun ini.

“Kami menjangkakan projek itu akan mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun untuk disiapkan dengan setiap unit rumah transit berukuran 700 hingga 750 kaki persegi dan memiliki tiga bilik.

“Akan ada beberapa syarat dikenakan berkaitan dengan penyewaan dan kami mungkin akan mengenakan kadar sewa sekitar RM300 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Menara DBKL 1, baru-baru ini.

Nor Hisham menjelaskan konsep rumah transit berbeza dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana PPR ialah untuk perumahan sementara bagi mereka yang memerlukan.

“Unit PPR disewa dengan harga RM124 setiap bulan dan penyewa sepatutnya keluar selepas lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata DBKL berusaha membantu golongan kontraktor yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dengan menawarkan lebih banyak tender kepada mereka.

“Pada awal tahun, kontrak bernilai RM50 juta telah diperuntukkan kepada 250 kontraktor G1 melalui sistem undian,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mengumumkan tambahan RM40 juta melalui Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan bagi memanfaatkan 500 hingga 600 kontraktor G1 hingga G4.

Sementara itu, Nor Hisham berkata DBKL mencatat penurunan pendapatan sebanyak RM700 juta hingga RM800 juta sejak Mac lepas yang disebabkan pelaksanaan beberapa inisiatif, antaranya pelepasan sewa selama enam bulan bagi penyewa PPR dan Perumahan Awam DBKL serta pengecualian bayaran sewa premis.

“Penurunan besar ialah dalam pengumpulan penilaian cukai,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.