Kerajaan Umum Pakej Kita Prihatin RM10 Bilion

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) membabitkan peruntukan berjumlah RM10 bilion seiring dengan usaha memulihkan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej tambahan itu meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.

Menurutnya, pakej itu menyasarkan empat golongan utama iaitu B40 yang berkeluarga dan bujang; golongan M40 yang berkeluarga dan bujang; pekerja negara dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro dalam pelbagai bidang.

“Sejak awal lagi, kerajaan berazam untuk menjadi pentadbiran yang prihatin – sebuah kerajaan yang bukan sahaja memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat, tetapi juga bertindak dengan cepat dan cekap untuk mengatasi cabaran-cabaran yang menggugat kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kerajaan mesti bersikap prihatin kerana inilah yang diperlukan oleh rakyat jelata, lebih-lebih lagi pada zaman yang amat mencabar ini,” katanya dalam pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan menerusi platform media sosial hari ini.

Pakej KITA PRIHATIN merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA.

Muhyiddin berkata, pakej-pakej ini telah melibatkan rangsangan ekonomi yang berjumlah RM295 bilion atau lebih kurang 20 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan suntikan perbelanjaan tambahan kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan menyediakan bantuan tambahan menerusi pemberian tunai di bawah BPN 2.0 itu turut mengambil kira kesukaran rakyat memandangkan masih terdapat industri seperti pelancongan dan penerbangan yang memerlukan masa lebih lama untuk pulih akibat pandemik COVID-19.

Pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 pula bagi membantu majikan dan pekerja yang masih mengalami kesukaran ketika fasa pemulihan ekonomi ini, meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan dalam pasaran kerja, kata beliau.

“Dalam pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan, kerajaan telah menyediakan sejumlah RM15.3 bilion bagi membiayai program subsidi upah kepada sehingga 3.3 juta orang pekerja.

“Sehingga 11 September 2020, seramai 2.63 juta pekerja dan lebih daripada 321,000 majikan telah mendapat manfaat daripada pemberian subsidi upah ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 bilion,” katanya.

Muhyiddin berkata, pembukaan semula permohonan Geran Khas PRIHATIN (GKP) bermula pada 1-31 Oktober, 2020 adalah untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi belum berkesempatan untuk mendapatkan geran tersebut.

Mengulas prestasi ekonomi semasa, Perdana Menteri berkata angka terbaharu yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan perkembangan menggalakkan berdasarkan petunjuk-petunjuk ekonomi seperti indeks kadar pengangguran, indeks pembuatan, indeks penggunaan dan lain-lain.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Kewangan juga akan memantau rapat langkah-langkah memperkasakan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi untuk memastikan perjalanan pemulihan ekonomi yang berterusan.

“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet ini sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada orang ramai supaya kita dapat pastikan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan adalah berkesan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Malah, Perdana Menteri berkata pengumuman setiap pakej rangsangan ekonomi berkaitan akan disusuli dengan pemantauan tetap oleh kerajaan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperkasakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.