Anwar Ulangi Sandiwara Bulan September – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Tentu ramai masih tidak dapat melupakan pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mendakwa sudah cukup majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008, menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Semua ini hanyalah gimik dan sandiwara politik Anwar Ibrahim bersempena bulan September yang begitu sinonim dengan sketsa politik beliau. Kebetulan juga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Timbalan Presiden UMNO juga pada bulan September 1998.

“Apakah ini semuda satu sandiwara? Kita tunggu episod seterusnya! Kalau susah-susah sangat, serahkan kembali mandat kepada rakyat agar dapat membuat keputusan yang muktamad,” kata Dr Asyraf dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Jelas beliau, pada hari ini, Anwar sekali lagi mengulangi sandiwaranya dengan membuat sidang media tengahari tadi dan mendakwa sudah cukup majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu Dr Asyraf telah menyatakan empat persoalan yang bermain di pemikiran semua.

“Kenapa Anwar semacam terdesak membuat pengumuman tatkala Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sedang kegeringan dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara?

“Kenapa Anwar semacam terdesak membuat pengumuman tatkala Pilihan Raya Negeri(PRN) Sabah hanya tinggal dua hari berbaki sebelum hari pengundian Sabtu ini?

“Kenapa Anwar semacam terdesak membuat pengumuman setelah rakan sekutunya yang paling kuat Dap mengisytiharkan Datuk Seri Shafie Apdal lebih layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH)? soalnya.

Begitu juga timbul persoalan mengapa hanya wakil PKR sahaja yang hadir dalam sidang medianya itu dan di manakah wakil komponen PH seperti Dap dan PAN dalam sesi pengisytiharan kerajaan baharu oleh Anwar itu. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79