Kerajaan Warisan Sabah Jangan Cuba ‘Tumpang Semangkuk’ Berkaitan Moratorium – Ismail Sabri

LIBARAN, 22 Sept – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Sabah pimpinan Warisan jangan cuba untuk ‘tumpang semangkuk’ berkaitan pemberian moratorium kepada rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.

Jelas Naib Presiden UMNO itu, segala bentuk bantuan termasuklah moratorium adalah idea daripada kerajaan persekutuan dan ia diberi kepada semua rakyat termasuklah di Sabah dan Sarawak.

“Bila kita umumkan moratorium tidak ada kena mengenapun dengan kerajaan Sabah. Kerajaan Sabahpun saya rasa ketika itu tidak bersuara untuk moratorium. Semua insentif kepada rakyat bukan hanya moratorium, banyak lagi di bawah ekonomi Prihatin… banyak insentif yang diberikan, untuk peniaga kecil, penjaja misalnya ‘one off’ geran, Tekun kosong faedah… semua ini hasil perbincangan dalam kerajaan persekutuan, tidak ada kena mengena dengan Sabah.

“Kerajaan Sabah pimpinan Warisan ketika itu berjanji untuk beri RM300 tapi saya difahamkan beri pun secara terpilih, tidak semua rakyat yang dapat. Berbeza dengan kerajaan persekutuan yang memberi kerana kerajaan prihatin terhadap rakyat yang ketika itu menghadapi masalah dari segi kewangan…

“Bila PKP dilaksanakan perniagaan ditutup, kita tahu gerai penjaja mencari makan secara pendapatan harian, kita tahu mereka tidak boleh berniaga jadi kita bantu mereka untuk kurangkan beban. Kita juga tidak mahu rakyat dibuang pekerjaan jadi kita beri bantuan subsidi upah bagi mengelakkan pekerja dibuang bila majikan terpaksa memberi cuti akibat PKP. Setiap pekerja dibayar RM1,000 jadi majikan tidak perlu keluarkan duit bayar gaji, kerajaan bayar,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online membicarakan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan keselamatan Sabah.

Mengulas lebih lanjut Ismail berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan ketika itu hanya berlaku di negara ini dan ia tidak berlaku sama sekali dalam pentadbiran negara lain.

“Ini bermakna, kerajaan persekutuan amat prihatin terhadap masalah rakyat.

“Jadi Sabah tidak usah nak tumpang semangkuk, tidak ada kena-mengena dengan Sabah sebab ini adalah idea kerajaan persekutuan. Tapi bantuan ini merangkumi semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak kerana kita adalah rakyat Malaysia,” tegas beliau.

Untuk rekod, Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kemenangan Warisan Plus dalam PRN Sabah dapat mengubah fikiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi.

Ketika ditanya berkaitan isu sentimen Sabah untuk Sabah yang dimainkan oleh pihak lawan dalam PRN Sabah ini, Ismail Sabri berkata, itulah pembohongan yang dibuat oleh Warisan bagi mengelirukan rakyat Sabah.

“Bila sentimen ‘Sabah for Sabah’ dimainkan, parti Barisan Nasional (BN) ini parti Malaya, yang mereka membohongi rakyat ini bila mereka bersekongkol dengan Dap. Dap ini parti Sabah ke? PKR pun bukan parti tempatan. Saya sudah berpesan dengan mereka (pengundi), jangan tertipu dengan logo kerana logo Warisan bukan sahaja membawa parti Warisan tetapi membawa Dap.

“Satu undi untuk Warisan bermaksud satu undi untuk Dap. Perkara ini telah berlaku di Semenanjung bila waktu pilihan raya ramai tertipu bila mereka guna logo PKR tapi belakangnya adalah Dap. Bila PKR menang maknanya Dap menang. Sebab itu akhirnya 22 bulan rakyat Malaysia, seluruh Malaysia khususnya di Semenanjung diperintah secara belakang tadbirnya adalah Dap.

“Jadi saya berharap rakyat Sabah juga tidak tertipu kerana akhirnya kalau beri undi kepada Warisan, Dap yang akan kuasai Sabah. Slogan itu hanya slogan mengelirukan rakyat dan nak menyedapkan hati rakyat Sabah sahaja,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.