Hina Tragedi Lahad Datu: Terbukti Warisan Tidak Layak Diangkat – Pengundi

LAHAD DATU, 22 Sept. – Dua hari lalu tular berkaitan video calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara dan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Biarpun sudah menzahirkan permohonan maaf dan masih menyalahkan pihak lain namun bagi penduduk tempatan, apa-apa pun kenyataan bekas Menteri Pelancongan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Parlimen Lahad Datu itu tetap tidak wajar dikeluarkan apatah lagi bagi seorang yang bergelar pemimpin.

Bagi Muhammad Fauzi Paladin, 49, sebagai penduduk Lahad Datu, kenyataan tersebut adalah sesuatu yang sangat mengguris hati apatah lagi mereka sendiri merasai kesan daripada tragedi yang berlaku biarpun sudah bertahun-tahun berlalu.

“Walaupun sudah minta maaf tapi masih seakan dipersenda, dipermain-mainkan sedangkan soal keselamatan bukan perkara yang boleh dijadikan mainan… janganlah permainkan soal keselamatan.

“Kerana itu saya amat menyokong laporan polis diminta untuk beri tindakan yang sekeras-kerasnya supaya tidak persenda lagi soal sedemikian.

Dalam tragedi tujuh tahun lalu itu, 10 anggota keselamatan telah terkorban akibat bertempur dengan musuh yang menceroboh Kg. Tanduo, di sini.

Dalam hal tersebut, Ahmad Didin Rosidin, 60, menegaskan bahawa kematian anggota keselamatan bukan sandiwara dan ini adalah soal yang sangat serius.

“Bayangkan tentera kita yang terkorban mati syahid di Tanduo boleh pula disebut sebagai berlawan dengan ayam dan anjing. Inikah seorang pemimpin yang sangat naif dan sangat cetek pemikiran.

“Kalau pemimpin seperti ini kita beri ruang dan kesempatan maka alangkah mengecewakan maka janganlah nak mengangkat pemimpin seperti ini,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Sabah keseluruhan untuk menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menolak orang yang benar-benar mempersendakan soal keselamatan.

“Orang sedemikian kita tidak boleh angkat sebagai pemimpin dalam masyarakat. Kita mesti tolak orang sedemikian. Janganlah orang sedemikian diberikan ruang, jangan beri peluang mereka ini memerintah Negeri Sabah.

“Dengan membuat kenyataan sedemikian bermakna dia politikkan isu keselamatan dalam PRN sedangkan ini merendahkan martabat pejuang negara hanya demi untuk meraih sokongan untuk undi pilihan raya.

“Adakah mereka kata peristiwa tragedi ini hanya wayang… MasyaAllah, Nauzubillah…,” ujarnya kesal.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Muhammad Rani Mohd Jahani, 35, yang amat kecewa dengan dakwaan terbabit.

“Saya amat kecewa dengan kenyataan ini yang bertindak macam kebudak-budakan, tak layak bertindak sebagai pemimpin… ibarat nyanyuk.

“Sebelum ini saya menyokong Warisan tapi saya sudah keluar dari Warisan maka inilah keputusan yang terbaik. Sudahlah sebelum ini ketika dia Menteri Pelancongan pun dia adalah orang yang bawa masuk COVID (COVID-19) maka sekarang keluar pula penghinaan sedemikian. Terbukti dia gagal… mohon kerajaan sila ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah dan Pemuda Barisan Nasional (BN) telah membuat laporan polis berkaitan hal terbabit dan menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap beliau. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.