Hina Warga Keselamatan Pertahan Kedaulatan Tanah Air Perbuatan Yang Tak Boleh Dimaafkan, Tegas Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Menuduh dengan sewenang-wenangnya bahawa peristiwa pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013 adalah ‘sandiwara’ merupakan penghinaan nyata Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi kepada seluruh rakyat Sabah khususnya anggota keselamatan yang terdiri daripada pelbagai agensi, kata Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam peristiwa tersebut ujar Naib Presiden UMNO itu, seramai sepuluh orang anggota keselamatan negara terkorban dan seterusnya membidas Mohamaddin yang menyatakan bahawa perwira yang terkorban itu merupakan korban politik sesetengah pihak, terkorban kerana perencanaan politik.

“Apakah beliau sedar bahawa setiap anggota keselamatan menyabung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan tanah Sabah dan bumi Malaysia ini dari serangan pengganas yang menyeberangi lautan dari Pulau Siminul Filipina untuk memastikan rakyat dan bumi ini tidak ditakluk atau diceroboh.

“Keamanan yang beliau nikmati hari ini hasil dari semua pejuang-pejuang yang terdiri dari anggota-anggota keselamatan pelbagai agensi yang menggadaikan nyawa setiap saat dan waktu memastikan keamanan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian setelah melihat dan meneliti video ceramah Mohamaddin yang sedang berkempen di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan ianya jelas menunjukkan calon Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu seorang yang menolak mentah akan kebenaran.

“Saya amat yakin jika pemimpin ini boleh mengeluarkan penghinaan ini dalam ceramah parti Warisan maka ianya juga mungkin pendirian parti Warisan keseluruhannya jika tidak dinafikan,” tegasnya lagi.

Justeru itu, Ismail Sabri menyeru seluruh rakyat Sabah dan terutamanya anggota-anggota keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk menolak politik penghinaan itu.

“…untuk tidak sesekali menyokong atau memberikan undi kepada mana-mana calon dari parti Warisan dan sekutu mereka dalam Warisan Plus yang jelas menghina seluruh anggota yang bertugas untuk mempertahankan negara dan bumi Sabah selama ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.