CM Sepatutnya Jadi Benteng Hadapan Pertahan Sabah Daripada Tuntutan Nakal Negara Luar, Tapi Sayang…

LIBARAN, 21 Sept – “Sebagai Ketua Menteri Sabah, sepatutnya Shafie Apdal (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) menjadi benteng hadapan mempertahankan negeri itu dari tuntutan nakal negara luar tapi agak malang bila beliau mengatakan perkara tersebut boleh dirunding, saya tidak tahu apa motif Shafie cakap begitu,” ujar Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, pendirian Malaysia adalah tegas iaitu tetap akan mempertahankan setiap inci bumi Sabah dan tuntutan Filipina itu tidak akan dilayan sama sekali.

“Kita berpendapat bila sesuatu perkara boleh dirundingkan maknanya ia satu pengiktirafan terhadap perkara tersebut. Ini tidak sepatutnya berlaku. Ketika pemerintahan BN (Barisan Nasional), isu ini dapat diredakan tetapi akhir-akhir ini bila Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan, Filipina mengaktifkan semula tindakan untuk menuntut negeri Sabah menjadi sebahagian daripada negara mereka dan ada cadangan memasukkan peta Sabah dalam peta mereka.

“Ini satu tindakan tidak wajar sebagai sebuah negara sahabat Asean yang sepatutnya menjaga perasaan jiran yang terdekat seperti Malaysia… tidak sepatutnya berlaku.

“Tapi apapun, kerajaan persekutuan bertegas tidak akan berkompromi walau seincipun dari segi tuntutan Filipina ini. Kita akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah dan tidak akan berganjak. Sabah adalah hak kita dan negeri berdaulat bersama Malaysia,” tegas beliau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam wawancara khas bersama UMNO-Online membicarakan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan keselamatan Sabah.

Tambah Ismail, demi kemakmuran Sabah maka seharusnya rakyat Sabah menolak parti Warisan dalam PRN negeri itu pada 26 Septemberi ini.

“Sebenarnya, rakyat Sabah sangat jelas menolak sebarang tuntutan terhadap Sabah. Sudahlah rakyat Sabah begitu sensitif dengan Pati (pendatang asing tanpa izin) daripada Filipina inikan pula mahu menjadi sebahagian daripada mereka.

“Jadi, agak malang kalau Warisan terus memerintah Sabah kerana kita bimbang tuntutan ini akan berpanjangan sebab kerajaan negeri tidak bertegas dan senada dengan kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu, rakyat Sabah harus menolak Warisan dan menukar kerajaan kepada BN berserta rakan-rakan lain,” ujar beliau.

Untuk rekod, Sabah secara rasmi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung PBB telah melapor kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk menyertai Malaysia dan sejak itu PBB dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.