Diberi Dana RM7.6 Bilion, Tapi Shafie Terbukti Gagal Menjaga Sabah – Azeez

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Berikutan pendedahan sebelum ini bagaimana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah diamanahkan dana sebesar RM7.6 bilion untuk Sabah semasa Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tetapi akhirnya gagal menjaga kebajikan rakyat negeri itu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ujarnya, daripada dana RM7.6 bilion tersebut, KKLW telah melaksanakan 350 projek di kawasan luar bandar Sabah iaitu 170 projek bekalan air, 163 projek jalan raya dan 17 projek bekalan elektrik.

“Banyakkan? Tetapi kenapa masalah kemudahan asas terus berlaku di negeri ini?

“Sebenarnya terdapat 70 projek bernilai RM1.5 bilion telah didapati bermasalah dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sangat ramai individu yang ditahan termasuklah Shafie dan beberapa anggota keluarganya.

“Antara projek yang disiasat SPRM ketika itu adalah pembinaan sebuah loji air di Semporna (kawasan Shafie sendiri). Projek yang bernilai RM45 juta ini gagal berfungsi kerana sungai terlibat cetek dan menjadikan bekalan air tidak mencukupi. Lebih memilukan, struktur loji tersebut dibina dua kali kerana binaan asal yang tidak mengikut spesifikasi,” kata Abdul Azeez dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Tambah Abdul Azeez, satu lagi projek pelik di Semporna adalah projek paip air dasar laut bagi membekalkan air bersih dari tanah besar ke Pulau Gaya.

“Projek ini amat penting kerana kebanyakan penduduk pulau terpaksa membeli air yang diangkut secara manual dari tanah besar dengan harga RM7 setong (200 liter).

“Projek ini akhirnya disiapkan pada bulan September 2015 dengan kos RM93 juta. Sepatutnya selesailah masalah penduduk. Rupa-rupanya tidak. Bekalan air mentah tidak dapat disalurkan kepada penduduk kerana tiada paip pengagihan ke setiap rumah. Air hanya sampai ke tangki besar di atas bukit sahaja.

“Akhirnya masalah sama berulang. Penduduk Pulau Gaya yang kebanyakannya berpendapatan rendah terpaksa membelanjakan ratusan ringgit sebulan hanya untuk bekalan air yang terhad,” ujarnya.

Begitu juga kata Abdul Azeez, akibat daripada banyak masalah projek untuk rakyat tersebut, Shafie yang telah dibawa ke muka pengadilan digugurkan kes oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi jangka hayat politik Shafie, bukan kebajikan rakyat menjadi ukuran mereka.

“Apa yang berlaku kepada Shafie? Beliau akhirnya telah didakwa di mahkamah. Namun apabila PH berjaya mengambil alih kuasa Persekutuan pada Mei 2018, Peguam Negara lantikan mereka telah memutuskan untuk menggugurkan kes.

“Begitulah ‘rule of law’ pada zaman PH. Yang penting adalah nyawa politik, bukannya kebajikan rakyat,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.