Sabah Berhak Dapat Ketua Menteri Yang Berprinsip, Warisan Jangan Gadai Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Sabah berhak mendapat seorang Ketua Menteri yang berprinsip dan tegas dalam mempertahankan hak mereka, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Bidasnya, individu tersebut bukannya seorang Ketua Menteri yang beretorik menyerang kerajaan Persekutuan tetapi dilihat lemah apabila berdepan dengan tekanan negara luar dan penyelesaiannya adalah dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Jika seorang calon Ketua Menteri begitu lemah apabila berdepan tuntutan Filipina, bagaimana pula nasib Sabah apabila berdepan kuasa besar seperti China?

“Perlu diingat, sebahagian perairan Sabah yang sangat kaya dengan mineral, bahan api dan sumber laut adalah idaman China melalui teori “9 dash line” mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Baling itu memberi reaksi demikian berhubung kenyataan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan perlu berunding dengan Filipina dalam isu kedaulatan Sabah.

“Saya nak pesan kepada Shafie. ‘We dont negotiate what is ours’ (kita tidak berunding apa yang menjadi milik kita). Kalau ada orang luar yang nak tuntut rumah saya, saya tak perlu berunding untuk cerita kepada dia bagaimana saya cari duit dan bina rumah saya itu. Saya jumpa dia di mahkamah sahaja. Itu barulah anak jantan.

“Tuntutan Filipina ke atas Sabah sangat lemah kerana Perjanjian 1878 antara Kesultanan Sulu dan Syarikat North Borneo (Overbeck & Dent) telahpun menyatakan serahan kedaulatan Sabah kepada penjajah buat “selama-lamanya”. Maksud ‘selama-lamanya’ ini adalah serahan kedaulatan dan bukannya pajakan.

“Sebagai timbal balas, pihak syarikat telah membayar 5,000 peso setahun kepada Kesultanan Sulu (dinaikkan kepada 5,300 peso pada tahun 1903) sebagai pampasan. Pembayaran terhenti apabila Kesultanan Sulu tamat pada tahun 1936,” jelasnya lagi.

Yang paling penting tambah Abdul Azeez, Shafie dan Warisan perlu faham bahawa terdapat satu lagi prinsip undang-undang antarabangsa iaitu penentuan nasib sendiri (self determination).

“Prinsip ini yang ada dalam Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) adalah prinsip kedaulatan tertinggi yang memberikan hak untuk rakyat tempatan membuat keputusan kepada kemerdekaan tanah mereka.

“Dan rakyat Sabah telah membuat keputusan melalui referendum anjuran Suruhanjaya Cobbold untuk sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.

“Ini adalah satu pengorbanan dan semangat yang sepatutnya dipertahankan oleh semua,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.