Chaya Mahu Menang Di DUN Baharu Kukusan, Tekad Bawa Pembangunan

 

TAWAU, 14 Sept. – Calon tunggal Wanita UMNO, Chaya Sulaiman yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu N70 Kukusan berharap akan menang serta mencipta sejarah sebagai wakil rakyat wanita pertama di DUN tersebut.

Beliau yakin, dengan kesungguhan dan gerak kerja parti maka tentunya BN akan menang di DUN terbabit.

“Alhamdulillah saya telah diberi peluang untuk mewakili BN di DUN N70 Kukusan. Untuk kempen selama dua hari ini saya melihat lebih meriah dan bersemangat dengan kehadiran pemimpin-pemimpin di sini.

“Wanita-wanita pun sudah menggerakkan gerak kerja masing-masing di setiap kawasan, maka insya-Allah dengan berkat serta kesungguhan gerak kerja parti tentunya kita boleh menawan DUN Kukusan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau juga melahirkan tekad sekiranya menang dan menjadi wakil rakyat di DUN tersebut, perkara yang ingin dilakukannya ialah membawa pembangunan.

“Saya tidak mahu berjanji apa-apa tapi sekiranya saya dipilih sebagai wakil rakyat saya mahu membangunkan lagi DUN Kukusan ini khususnya melalui pendidikan dan ekonomi,” katanya lagi.

DUN Kukusan adalah antara 13 kerusi baharu selain N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag dan N61 Segama.

PRN Sabah yang bakal berlangung 26 September hadapan menyaksikan pertandingan bagi merebut 73 kerusi DUN membabitkan seramai 1.12 juta pengundi layak memilih dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN kali ini.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.