PRN Sabah: Dua Tahun Adalah Tempoh Yang Amat Menyiksakan Buat Rakyat Sabah

KINABATANGAN, 12 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau Datuk Jafry Ariffin berkata, dua tahun adalah satu tempoh yang lama dan amat menyiksakan bagi rakyat Sabah.

Ujar beliau, banyak bantuan yang diberikan semasa pentadbiran BN dahulu ‘hilang’ apabila pucuk pimpinan negeri Sabah bertukar dan diterajui oleh Warisan/PH.

“Rata-rata rakyat khususnya di DUN Sukau masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nelayan tidak ada bantuan… dulu BN banyak beri bantuan seperti rumah, peralatan nelayan dan sebagainya tetapi dua tahun lalu langsung tidak ada.

“Begitu juga sebahagian tempat yang punca utamanya adalah sektor pertanian, tetapi tidak dapat bantuan. Maka, kini sampai masanya untuk semua pengundi di DUN Sukau kembali memastikan beri sokongan kepada BN. Pastikan BN menang bukan hanya di Sukau tetapi juga di semua tempat BN bertanding,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jafry turut melahirkan keyakinan untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Sukau kerana sejak dahulu lagi DUN tersebut hanya milik UMNO/BN.

“DUN Sukau adalah kerusi tradisi UMNO/BN. Kita tidak pernah kalah di sini dan berdasarkan kekuatan yang ada, saya yakin kita mampu mempertahankan DUN ini.

“Lagi pula UMNO/BN memang sudah buat kerja dari dulu dan kita mempunyai penyokong tegar di setiap kampung. Mungkin ada taktik memfitnah dari pihak lawan tapi saya yakin semua ini boleh diatasi. Saya juga yakin rakyat Sabah masih mempercayai UMNO/BN.

“Kalau ikutkan, selepas PRU-14, kita sebenarnya adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat tetapi kerana ada yang melompat maka kerajaan terpaksa berubah,” ujar beliau.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan. Seramai 447 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding pada PRN ini.

Bagi PRN Sabah ini, BN sah bertanding di 41 kerusi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.