Mengapa Beri Peluang Hingga Hujung Tahun Kepada Pemilik Kilang Haram?

KUALA LUMPUR, 10 Sept. – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan membidas Kerajaan Negeri Selangor berikutan keputusan memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang haram untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Tegasnya, rakyat mahukan tindakan dan kerajaan negeri ada banyak kuasa maka sewajarnya jangan tunggu ada krisis air sekali lagi baru nak kelam kabut.

“Sudah 12 tahun diberi peluang kepada kilang haram. Hendak bagi berapa tahun lagi?

“Tempoh hari saya mengesyorkan untuk tidak mempolitikkan isu air kerana masing-masing agensi negeri dan persekutuan ada tanggungjawab dan rakyat tidak berminat untuk bermainan ‘game’ siapa salah siapa betul kerana hanya mahukan penyelesaian.

“Cuma, kenyataan MB Selangor hari ini (semalam) menimbulkan kekhuatiran adakah Kerajaan negeri serius mahu mencari jalan penyelesaian,” ujarnya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut melalui laman facebooknya hari ini.

Soalnya, selepas krisis bekalan air yang baru sahaja ke arah kembali ke normal, mengapa perlu tunggu sehingga hujung tahun?

“Setelah perit yang dilalui, mengapa tidak tindakan tegas diambil sekarang? Ini bukan kes penjaja kecil yang hendak cuba dibantu ke arah pemutihan atas pertimbangan ehsan dan membantu ekonomi mikro penjaja. Ini kilang-kilang. Kilang haram. Yang mana di kalangan mereka mencemar sungai dan mengganggu bekalan air, menyebabkan pelbagai kesusahan dan kerugian kepada rakyat.

“Sejak 2008? Sudah 12 tahun, dan sudah berkali-kali krisis air di Selangor – Kerajaan negeri yang ada kuasa untuk mengambil tindakan, masih mahu beri peluang sehingga tamat 2020?

“Kalau keadaan mendesak?? 1.2 juta akaun pengguna air terkesan teruk hanya beberapa hari lalu disebabkan akitiviti kilang yang tidak dipantau, walaupun ada sejarah pencemaran. Tak cukupkah bukti betapa mendesaknya isu pencemaran dan gangguan ini?” bidasnya lagi.

Terdahulu Menteri Besar Selangor dilapor berkata “Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya.

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.