Garis Panduan PRK Chini, Slim Digunakan Pada PRN Sabah

PUTRAJAYA, 10 Sept – Garis panduan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan beberapa penambahan baharu diperkenalkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa penambahan baharu itu sedang diperincikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.

“Garis panduan PRK Chini dan Slim masih diguna pakai, contohnya pada hari penamaan calon yang dibenarkan masuk hanya tiga orang iaitu calon, penyokong dan juga pencadang.

“Operasi bilik gerakan juga masih dibenarkan, namun mereka perlu melaporkan kepada pihak SPR… ceramah dalam jumlah ramai adalah tidak digalakkan,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadualkan pada 26 Sept ini. Hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal, 22 Sept.

Jumlah kehadiran peserta bagi satu-satu ceramah tidak boleh melebihi 250 orang, namun ia tertakluk kepada keluasan ruang selain ia perlu mendapatkan permit polis.

“Pemeriksaan suhu dan penggunaan cecair pensanitasi masih dikekalkan, dan ketika beratur perlu ada penjarakan fizikal.

“Pengundi yang mempunyai gejala seperti batuk, sakit tekak dan lain-lain akan diasingkan ke khemah lain untuk mengundi,” kata Ismail Sabri.

Mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini beliau berkata, sambutan yang dibuat di stadium tertutup di Sibu, Sarawak itu akan dihadkan kepada 500 orang jemputan, daripada kerajaan persekutuan dan negeri sahaja.

“Mesyuarat hari ini membuat ketetapan untuk mengehadkan jumlah kehadiran dan jika tiada jemputan jangan hadir, kerana prosedur operasi standard (SOP) ketat akan dilaksana dan waktu program juga terhad,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, mulai hari ini kedai makan, restoran, dan kedai serbaneka 24 jam, dibenar beroperasi sehingga pukul 2 pagi.

“Banyak rungutan khususnya di kawasan pelancongan seperti di Langkawi, yang kedai tutup selepas 12 malam… jadi kita beri tambahan dua jam lagi untuk mereka beroperasi sehingga pukul 2 pagi.

“Selain itu, warga asing juga boleh melakukan ibadat di masjid dan mereka boleh solat Jumaat tetapi masih perlu patuhi SOP,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.