Setahun MN: Tunjang Politik Baharu Kepada Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – 14 Sept 2019 adalah tarikh keramat buat UMNO dan PAS apabila kedua-dua parti Melayu Islam terbesar yang telah lama ‘bercakaran’, akhirnya menemui titik persamaan.

Piagam Muafakat Nasinoal (MN) yang ditandatangi mengundang rasa sebak penuh keinsafan.

Bermula dari detik itu, UMNO dan PAS tidak menoleh ke belakang lagi.

Kini, setahun usia MN jelas menunjukkan ia semakin kukuh dan menjadi satu alternatif baru dalam dunia politik.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MN adalah satu perjuangan politik baharu dan ianya boleh menjadi tunjang kepada politik negara maka seharusnya kerjasama dalam penyatuan ini dijaga sebaik mungkin agar ia tidak terungkai lagi.

“Setelah lebih 60 tahun, sedewasa kita ini sentiasa berbalah dengan PAS, macam ‘anjing dengan kucing’ sentiasa berbalah. Akhirnya, peristiwa hitam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengundang kepada gencatan senjata… UMNO dan PAS akhirnya berhenti berbalah.

“Perbalahan itu merugikan, tidak pernah perbalahan itu menguntungkan dan tidak pernah perpaduan itu merugikan. Perpaduan itu sentiasa menguntungkan. Justeru, mengapa kita sentiasa berbalah. Akibat daripada perbalahan kita inilah kita hilang 32 kerusi yang sepatutnya kita tidak hilang,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu lagi, pada malam 9 Mei 2018 iaitu pada malam pembetukan kerajaan Pakatan Harapan (PH)/Dap, ia menyaksikan sebuah kerajaan yang mempunyai 70 peratus penduduk Melayu Islam ditadbir oleh mereka yang bukan Islam dan akhirnya mengundang pelbagai kontroversi apabila pelbagai isu sensitif berkaitan Islam cuba disentuh.

“Sebenarnya, 121 kerusi yang kita kalah itu, ada 32 kerusi yang sepatutnya kita tidak kalah dan kerusi itu bolehlah kita panggil kerusi MN.

“Apakah kerusi itu? Contohnya di Pahang ada 14 Parlimen, kita kalah lima, menang sembilan, tapi lima Parlimen yang kalah itu jika dicampurkan undi BN dengan undi PAS, kelima-lima kerusi itu kita menang dan Pahang patut dimenangi oleh 100 peratus kumpulan kita iaitu MN dan BN.

“Jadi jangan berpecah lagi, kerana berpecah 32 kerusi itu mereka dapat dan mereka memerintah. Jika 32 kerusi itu kita dapat kita yang memerintah dan mereka akan terus jadi pembangkang,” ujarnya lagi.

Mengulas lebih lanjut Ahmad berkata, kerana itulah kerjasama MN ini adalah perkara penting dalam menuju PRU-15.

“Bilapun masanya kita bersedia dan kita sentiasa yakin dengan MN dan rakan-rakan dalam MN, kita akan bersama-sama berjuang untuk negara kita ini.

“Kepada bangsa lain, jangan risau kerana sekiranya kita memerintah, kaum lain juga akan kita jaga kerana kita sentiasa menghormati antara satu sama lain dan yang pasti perjuangan MN akan tetap memperjuangkan kebajikan dan pentingan semua bangsa. Semoga Allah terus memberkati perjuangan kita ini,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.