Sentimen Sabah Untuk Sabah ‘Permainan’ Tidak Ikhlas, Propaganda Politik – Shahril

KOTA KINABALU, 9 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, persepsi yang diangkat oleh pihak lawan seperti ‘Sabah untuk Sabah’ adalah satu ‘permainan’ yang tidak ikhlas untuk rakyat.

Jelas beliau, ini amat berbeza dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana walaupun memberi kuasa autonomi kepada Sabah namun hubungan antara UMNO/BN Sabah dengan Semenanjung bukanlah sesuatu yang dirahsiakan.

“Ini kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, walaupun rakyat Sabah mahukan semangat kenegerian tapi ini tidak bermakna mereka mahu pinggirkan Semenanjung kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Sebab itu, walaupun UMNO/BN memberi autonomi kepada Sabah tetapi hubungan antara Sabah dengan Semenanjung tidak berubah dan ini berbeza dengan pihak lawan.

“Parti Warisan contohnya, jika hendak kata Warisan parti Sabah sahaja, mengapa sebelum ini dalam PH ada pemimpin mereka memegang jawatan dalam kabinet? PKR yang dikatakan bakal bertanding di sini (dalam PRN Sabah) juga sudah pasti ada kerjasama dengan Warisan, maknanya Warisan itu PH cuma tidak bernaung secara rasmi dengan PH,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tegas Shahril, beliau percaya rakyat Sabah boleh melihat dan menilai siapa yang benar-benar ikhlas ataupun hanya memainkan sentimen hanya kerana kepentingan politik.

Mengulas mengenai PRN Sabah, Shahril berkata, Penerangan UMNO Malaysia akan memberikan komitmen yang tinggi khususnya dalam menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan.

“PRN Sabah, khususnya bagi pihak Penerangan ada fungsi yang cukup penting kerana pada awal waktu lagi pihak lawan sudah mula memainkan propaganda, menabur cerita fitnah dan separa benar untuk membawa satu imej yang tidak baik tentang UMNO dan BN.

“Jadi kita akan jawab dengan cara digital, ceramah dan program berdundun. Ini antara yang akan Penerangan lakukan dan kita akan berganding bahu dengan BN bagi memastikan persepsi rakyat menyebelahi BN sehingga menang PRN ini,” ujar beliau.

Rakyat Sabah bakal mengundi pada 26 September ini bagi memilih parti mana yang bakal menjadi pentadbir negeri.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendakwa mendapat perkenan daripada Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Kemelut politik di Sabah berlaku susulan Gabungan Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah bersama 32 wakil rakyat lain untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu pada 29 Julai lalu, sebelum membawa kepada pembubaran berkenaan.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 26 September sebagai tarikh membuang undi dengan 12 September penamaan calon.

SPR menyasarkan 70 peratus daripada 1,124,598 pengundi berdaftar akan keluar mengundi pada PRN Sabah ke-16 kali ini. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.