Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-53 Dan Mesyuarat Berkaitan Di Hanoi Bermula


KUALA LUMPUR, 9 Sept – Masyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-53 (AMM-53) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan bermula hari ini secara persidangan video, dengan perbincangan mengenai COVID-19 antara agenda utama serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada November.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut sehingga Sabtu ini, dari Putrajaya.

Majlis Perasmian AMM-53, yang disiarkan secara penstriman langsung di laman Facebook ASEAN 2020 Vietnam, dari Rumah Tetamu Kerajaan pada 8 pagi (waktu Vietnam) Rabu, di Hanoi.

Vietnam adalah Pengerusi ASEAN 2020.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, dalam ucapan perasmiannya, berkata pertemuan itu adalah bukti lain bahawa ASEAN sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baharu semasa COVID-19 dan bersatu dalam mengatasi semua kesulitan.

“Bersatu dan bertindak balas bukan sekadar tema ASEAN 2020. Bersatu dan bertindak balas, serta proaktif dan bertanggungjawab, telah menjadi jenama ASEAN, yang membolehkan kita saling bergandingan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan terus maju,” katanya.

Sementara itu, Phuc mencadangkan agar Dana Tindak Balas COVID-19 ASEAN dimanfaatkan dengan sebaiknya dan Rizab Bekalan Perubatan Serantau harus digerakkan sehingga mencapai kapasiti tindak balas ASEAN dalam usahanya untuk mengawal COVID-19 dan mempromosikan pemulihan yang berkekalan

Beliau berkata ASEAN perlu segera membantu rakyat dan pengeluaran perniagaannya supaya kembali pulih dan mengembalikan kehidupan mereka kembali normal bagi mempercepat pemulihan ekonomi di rantau ini.

“Usaha juga harus dilakukan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan, memperbaiki rantaian bekalan yang terganggu, meningkatkan hubungan dan menyediakan sokongan bersama bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara subwilayah di ASEAN, termasuk Mekong,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh mengenai keperluan memanfaatkan pusat untuk ASEAN dalam melanjutkan dialog, kerjasama dan membangunkan keyakinan di rantau ini.

Phuc berkata badan serantau yang dianggotai 10 negara itu perlu terus berpegang kepada perpaduannya dan mengikuti hala tujunya sejak lebih daripada lima dekad dan cara ASEAN, seiring dengan Kenyataan Menteri-Menteri Luar mengenai pentingnya menjaga keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara pada 8 Ogos.

“Mari kita memanfaatkan nilai dan identiti ASEAN, yang mengikat masyarakat kita bersama dalam komuniti yang saling peduli dan berkongsi, seperti sebatang tangkai padi kuning yang tertera di bendera ASEAN atau lagu ASEAN, yang harus kita galakkan untuk menjadi ikon dan kebanggaan yang popular dalam kalangan 650 juta rakyat ASEAN,” katanya.

Beberapa pertemuan sedang berlangsung dalam rangka AMM-53, termasuk mesyuarat Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-27, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN + 3 ke-21 , Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, dan Forum Serantau ASEAN ke-27.

Semua mesyuarat akan dihoskan Vietnam, yang berperanan sebagai Pengerusi ASEAN 2020.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, Menteri-Menteri Luar ASEAN akan membincangkan isu-isu berkaitan usaha pembangunan Komuniti ASEAN dan pelaksanaan Rangka Tindakan ASEAN Politik-Keselamatan 2025 di AMM-53.

Menteri Luar juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai hal berkaitan isu-isu serantau dan antarabangsa seperti situasi di Laut China Selatan, Semenanjung Korea, dan wilayah Rakhine di Myanmar, katanya.

Di akhir AMM-53, Menteri-Menteri Luar dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM ke-53.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN dianggotai 10 negara – Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina, dan Vietnam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.