Kes Pencemaran Sumber Air Di Selangor Dijadikan Pengajaran, Kedah Ambil Langkah Holistik – Suraya

ALOR SETAR, 8 Sept – Merujuk kepada apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob memberi peringatan agar jangan sesekali mencemar jaringan sungai yang menjadi sumber bekalan air di Kedah.

Ujar Suraya yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Kak Su, beliau tidak mahu apa yang berlaku di Selangor itu turut berlaku di negeri Jelapang Padi itu.

“Kak Su dengan kerjasama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan, agensi negeri dan persekutuan akan memantau lebih erat segala ancaman yang membabitkan aspek aktiviti bekalan air bagi mengelak kejadian serupa berlaku di negeri Kedah.

“Menerusi akta dan enakmen perundangan sedia ada, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras kepada sesiapa sahaja yang bertanggungjawab mencemar sumber air atau proses agihan air kepada pengguna,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang turut menyeru kepada seluruh rakyat Kedah agar bekerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat sebarang aktiviti pihak tertentu yang menjejaskan sumber bekalan air bagi tindakan segera dapat diambil.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri Kedah tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman atau kesalahan yang mampu menjejaskan kepentingan kita bersama.

“Kak Su yakin, dengan kaedah komunikasi yang baik, jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, LSANK, PBT, agensi dan jabatan kerajaan dan rakyat, kita dapat memastikan sumber bekalan air di negeri Kedah terpelihara.

“Kak Su berdoa, semoga Allah jauhkan rakyat Kedah dari sebarang masalah bekalan air dan terus memayungi kita dengan limpahan rahmatNya, insya Allah,” katanya lagi.

Suraya memandang serius tentang masalah bekalan air yang berlaku di Selangor baru-baru ini yang dikenalpasti berpunca daripada pembuangan sisa kilang haram ke dalam sungai yang mencemarkan sumber air negeri dan mengakibatkan lebih 1 juta pengguna di Lembah Kelang terputus bekalan air.

“Meskipun berlaku di negeri Selangor, namun kita di Kedah wajar mengambil iktibar atas permasalahan ini. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Kedah kini sedang gigih berusaha mengatasi masalah bekalan air di negeri kita.

“Menerusi pendekatan makro dan mikro, kita sedang cuba menyelesaikan masalah yang sudah berpuluh tahun membelenggu pengguna secara holistik, termasuk mengenal pasti potensi sumber-sumber air baharu di negeri Kedah.

“Bukan saja bertindak menyegerakan kerja-kerja menaiktaraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) di negeri Kedah, malah kita sedang bertungkus lumus mengurangkan kadar Air Terawat Tidak Berhasil (NRW) menerusi jaringan retikulasi paip-paip baharu, khususnya di kawasan-kawasan kritikal,” katanya.

Jelasnya juga, pihaknya juga menghadapi cabaran tidak terduga seperti kebocoran paip dan masalah-masalah kecemasan lain, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri perlu sentiasa bersedia untuk berdepan masalah bekalan air pada bila-bila masa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.