Parti Warisan Tidak Boleh Tipu Dua Kali, BN Tampil Tawaran Baharu – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 7 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin percaya Parti Warisan tidak akan mampu lagi menipu rakyat negeri itu dengan pelbagai janji sepertimana sebelum ini.

Menurut beliau sebaliknya BN pula akan tampil dengan pelbagai tawaran baharu untuk rakyat Sabah dari pelbagai aspek khususnya soal ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya lagi yang secara keseluruhannya akan memberi tumpuan kepada rakyat Sabah.

“BN tidak beri janji apa-apa seperti wang ringgit dan sebagainya… kita beri harapan baharu yang menggambarkan komitmen kita kepada rakyat dan bukan seperti Warisan yang sekadar memberi harapan.

“Insya-Allah… BN sekiranya diberi kepercayaan kita akan bekerja untuk rakyat dan kita bukanlah parti sepertimana yang diungkap oleh Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Puteri UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut membangkitkan soal pemberian geran oleh kerajaan Sabah kepada penduduk yang disifatkannya itu adalah hak rakyat Sabah.

“Kepada penerima geran… itu adalah hak kamu semua dan bukan hak Warisan… Yang jelas kerajaan Warisan telah gagal jalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Perubahan apa yang rakyat dapat… ekonomi Sabah menurun… hari ini Parti Warisan menjelajah turun mengatakan telah melaksanakan janji pilihan raya… pemberian geran tanah… BN pun buat dahulu.

“Sebab itu kita beri tawaran baharu apabila geran tanah siap sahaja kita akan beri tanpa tunggu pilihan raya… kita ubah balik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini sahaja caranya… saya beri jaminan BN akan beri pemerintahan terbaik dengan transformasi besar-besaran dalam semua aspek.

“Kita datang kepada rakyat, kembali kepada rakyat dan harus membimbing dan angkat kembali mandat rakyat, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan semua jentera parti termasuk Puteri UMNO memainkan peranan masing-masing dalam membantu BN mencapai kemenangan.

Yang penting katanya semua pihak bergerak atas panji BN bersama rakan-rakan yang lain kerana yang utama ialah matlamat dan tujuannya selari dan seiring bersama.

“Kita harus melihat ke depan dan di hadapan ini banyak rintangan, gangguan dan cabaran menanti. Justeru saya amat berharap seluruh jentera parti memberikan sokongan padu apabila calon BN diumumkan nanti,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.