Pindaan Akta Wajar, Namun Kuatkuasakan Undang-Undang Yang Sedia Ada – Norshida

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Cadangan beberapa pihak agar kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air & Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air adalah sesuatu yang wajar.

Namun pada masa yang sama bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim penguatkuasaan akta serta undang-undang sedia ada perlu diperbaiki daripada beberapa sudut termasuk kelemahan aktiviti penguatkuasaan yang sedia ada, sistem pemantauan sungai secara online yang gagal berfungsi dan insiden pencemaran sungai yang sering berlaku dalam Negara.

“Akta yang sedia ada pun dah mencukupi sekiranya ia digunakan secara wajar dan amanah oleh pihak yang mempunyai punca kuasa ke atasnya.

“Naratifnya, mengikut rekod awam, sejak tahun 2013 lagi, telah wujud aktiviti yang mencemarkan Sungai Gong dan kilang-kilang tersebut masih lagi beroperasi seperti biasa. Berapakah kes tindakan mahkamah pihak berkuasa dari PBT dan JAS yang mempunyai kuasa perundangan penuh untuk mendakwa dan menghukum penjenayah alam sekitar di muka pengadilan?

“Keadaan hari ini menunjukkan mereka yang merosakkan sungai kita seakan-akan tidak mempedulikan tindakan undang-undang, mungkin kerana terlalu ringan buat mereka atau tiada penguatkuasaan yang ketat pihak yang berwajib,” katanya menerusi catatan di facebook.

Norshida seterusnya menambah Malaysia mempunyai satu akta yang cukup komprehensif iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling yang boleh mendakwa pihak industri yang menyebabkan pencemaran Sungai di mahkamah dengan serta merta, kenapa harus di gantung operasi dan dikeluarkan tawaran kompaun sahaja.

Tambahnya lagi kes sebelum kejadian ini juga berkaitan pembuangan sisa minyak di lubang kumbahan pun masih belum rakyat melupainya.

“Dalam pada itu, Malaysia mempunyai sistem pemantauan kualiti air sungai secara automatik di Sungai-Sungai seluruh Negara, insiden berulang di Sungai Gong, adakah sistem dan syarikat konsesi yang dilantik gagal memberi amaran awal kepada JAS, Syarikat Air Selangor dan Rakyat pula boleh dimaklumkan melalui media untuk menyediakan bekalan air secukupnya?

“Bayaran jutaan ringgit di bayar oleh Kerajaan untuk pemantauan kualiti air sungai, tetapi amaran awal pencemaran tidak dapat dikesan, ada sesuatu yang tidak kena yang wajar di siasat segera oleh pihak Kerajaan.

“Jarak 17KM dari kawasan insiden pencemaran dengan loji pemprosesan Air Selangor Sdn Bhd merupakan satu jarak yang agak jauh dan perjalanan air yang tercemar itu juga memakan masa untuk sampai ke lokasi takat pengambilan air mentah Air Selangor Sdn Bhd,” ujarnya.

Ujarnya lagi persoalan yang timbul sekiranya terdapat sistem amaran pencemaran sungai yang sepatutnya dipasang oleh syarikat yang memantau, sudah pasti syarikat akan melaporkan kepada pihak JAS insiden pencemaran ini untuk siasatan lanjut dan amaran kepada loji pemprosesan air untuk penutupan loji.

Jelasnya 5 juta rakyat boleh tahu awal untuk persediaan bekalan air bagi kegunaan harian dan dalam hal ini, terbukti sistem amaran awal yang di bayar oleh Kerajaan tidak berfungsi dengan baik.

“Ketika pandemik COVID-19 yang masih belum menemui titik penghujungnya, sekali lagi insiden pencemaran air yang hampir tiga bulan sekali berlaku mengejutkan semua pihak. SOP untuk mencegah COVID-19 rakyat perlu basuh tangan lebih kerap dan apabila air tak ada, tidak mustahil kemungkinan penularan kluster baru merebak tanpa dapat di kawal,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.