Krisis Bekalan Air – Sudah Cukup Kegagalan Sistemik; Masa Untuk Bertindak

SEJAK 2008, lebih kurang 50% laporan gangguan bekalan air daripada jumlah keseluruhan 83,729 yang dilaporkan di Malaysia berlaku di Selangor. Majoriti insiden berlaku disebabkan pencemaran kepada sumber air yakni sungai-sungai yang menyalurkan air mentah ke loji-loji rawatan air.

2. Kekerapan gangguan ini menunjukkan ada sesuatu kegagalan yang amat mendalam. Semua setuju perkara ini.

3. Namun acapkali, ia menjadi isu politik. Tetapi apa penyelesaian yang boleh dibuat?

4. Pertama, suka atau tidak, Kerajaan negeri mesti bertanggungjawab besar atas kegagalan ini. Jika kilang yang bersalah itu adalah kilang “sah”, mana mungkin mereka berani mencemar sungai jika penguatkuasaan dari PBT dilaksanakan sebetulnya?

5. Contoh, dalam kes terkini sebuah kilang di Sg Gong Rawang, mereka telah didapati bersalah mencemar sungai sebelum ini. Mereka berani membuat kesalahan ini sekali lagi, bermakna agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan negeri tidak berfungsi. Tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat.

Malah, kenapa kilang itu dibenarkan beroperasi setelah kesalahan asal? Kenapa PBT tidak tutup sahaja kilang itu dengan menarik balik lesen operasi? Pada masa sama, ada agensi pusat juga berkongsi peranan dan Jabatan Alam Sekitar seharusnya bertindak lebih awal mengetahui sejarah syarikat terbabit. Apa yang berlaku mutakhir ini seakan kegagalan sistemik atau “systemic failure”. Benar, kegagalan besar atas bahu Kerajaan negeri tetapi pusat juga sewajarnya lebih proaktif.

5. Langkah penyelesaian: salah tetap salah, kritik tetap kritik. Tetapi kelompongan sebesar ini mesti ditangani segera. Ada peranan untuk Kerajaan Negeri, Pusat dan ada juga peluang untuk tindakan dari rakyat.

A) Kerajaan Negeri gunakan kuasa Akta Kerajaan Tempatan 1976 sepenuhnya.

Sebenarnya, peruntukan undang-undang sedia ada masih boleh digunakan dengan lebih serius.

Misalnya, selain contoh diatas yakni lebih tegas menarik balik lesen operasi pesalah, Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa pihak yang mencemar sungai boleh diminta menanggung sepenuh kos pembersihan akibat tindakan mereka. Mengapa tindakan ini tidak berani diambil?

Contoh lain, dalam akta sama, PBT sebenarnya boleh menyita malah memusnah bangunan atau aset yang terbabit dalam pencemaran jika tidak mampu akur kepada peraturan. Mengapa tindakan ini tidak pernah berani diambil? Apatah lagi jika punca pencemar adalah dari kalangan ribuan kilang haram yang beroperasi di Selangor setakat 2019.

B) gunakan kuasa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

Pada tahun 2006, Akta Industri Perkhidmatan Air digubal untuk membolehkan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (kini Kementerian Alam Sekitar dan Air) menguatkuasa undang-undang bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan air.

Seksyen 121 and 122 menyatakan sekiranya seseorang mencemarkan alur air atau sistem bekalan air, boleh dikenakan hukuman penjara dan denda ratusan ribu ringgit. Bermakna, boleh sahaja pesalah ditahan dan didakwa. Barangkali ini akan mengubah sikap sambil lewa pengusaha yang mencemar selama ini.

Berita terkini melaporkan bahawa sudah ada 4 individu yang ditangkap ekoran pencemaran terkini – yakni pemilik syarikat bertanggungjawab. Ini perkembangan positif yang wajar diteruskan dalam mana-mana kes selepas ini.

C) pinda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

Buat masa sekarang, tiada peruntukan khusus untuk memberi peluang kepada rakyat biasa mengambil tindakan undang-undang kepada pencemar. Bayangkan jika ada peruntukan menyebut dalam kes ada gangguan bekalan air akibat pencemaran, 1.2 juta rakyat yang terkesan boleh menyaman pesalah melalui “class action suit”. Bankrap sudah tentu. Dan pastikan ia terpakai kepada pengarah syarikat-syarikat yang bertanggungjawab. Jika 1.2 juta rakyat diberi hak menyaman ini, tiada unsur penguatkuasaan boleh timbul kerana rakyat sendiri akan bangkit membawa kes ke mahkamah jika pihak berkuasa lambat bertindak.

D) wujudkan jawatankuasa khas tetap dipengerusi bersama MB Selangor dan Menteri Alam Sekitar & Air.

Jawatankuasa ini boleh dianggotai agensi negeri dan pusat – PBT, LUAS, SPAN, JAS – bermesyuarat setiap 2 minggu untuk memantau segala aspek bekalan air. Jika ada masalah, jawatankuasa ini bertindak dan menjelaskan kepada rakyat.

Rakyat semakin bijak dan mereka akan buat keputusan siapa yang bertanggungjawab atas kegagalan, tetapi mereka mahu melihat penyelesaian bukan pempolitikan isu sepanjang masa. Bagi mereka, ini isu yang terlalu besar dan terlalu kerap untuk kita tendang ke sana ke mari mencari jaringan gol politik.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.