PRN Sabah: Jadikan PRU-14 Sebagai Iktibar, Jangan Pisang Berbuah Dua Kali

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, rakyat Sabah khususnya anak muda harus menjadikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai iktibar agar pisang tidak berbuah dua kali.

Jelas beliau, kerana mengharapkan hujan yang tidak pasti, air ditempayan dicurahkan dan akhirnya selama 22 bulan rakyat terpaksa menderita di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun senario politik di Sabah tidak sama dengan politik di Semenanjung tetapi secara asasnya, semua rakyat tidak kira di mana merasa penderitaan di bawah pentadbiran PH.

“Di Sabah, kerana mahukan perubahan yang lebih baik, rakyat Sabah cenderung memilih Warisan sehingga menyebabkan perbezaan tipis antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan… bila ada yang melompat maka kuasa bertukar tangan. Akhirnya di bawah Warisan pro PH, rakyat Sabah menderita bila pendatang tanpa izin lebih dijaga daripada rakyat tempatan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru ujar Nizham, pilihan raya bukanlah sesuatu yang boleh dicuba-cuba kerana akibatnya amat buruk.

“Jadi, rakyat Sabah harus bijak memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini. Anak muda pula, jangan lagi terpengaruh dengan janji bulan dan bintang kerana memang ianya sedap untuk didengar tetapi bukan untuk dilaksanakan.

“Saya pasti, PRN ini akan menyaksikan pelbagai janji manis akan mula dimainkan oleh mereka tetapi adakah kita rela untuk tertipu kali ke dua? Adakah kita masih mahu memberi peluang? Saya pasti, 22 bulan sudah cukup menyedarkan kita betapa bolosnya pentadbiran PH/Warisan,” ujar beliau.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula pada 12 September manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 September.

Terdapat 1.12 juta pengundi dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.