Warisan, Cukup-cukuplah Dengan Laungan Populis Kaburi Mata Rakyat – Naim

KINABATANGAN, 2 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Naim Moktar membidas Parti Warisan Sabah (Warisan) agar cukup-cukuplah dengan laungan populis untuk mengaburi pandangan rakyat.

Ujar EXCO Pemuda Barisan Nasional (BN) itu, majoriti rakyat Sabah kini tidak menikmati keselesaan daripada pentadbiran Warisan melainkan merasai kesengsaraan, kemiskinan, kelaparan dan ketidakupayaan ekonomi.

“Mari kita berbicara secara realistik, pelaksanaan ‘Malaysian Agreement’ di bawah Jawatankuasa Teknikal RCI MA63 akan memerlukan penginterpretasian perundangan sehingga mengambil suatu tempoh yang panjang untuk pelaksanaan secara menyeluruh.

“Maka, saya sarankan agar kita bertanya kepada Shafie Apdal berhubung peruntukan “berbiliun-biliun” yang diberikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 dan Rancangan Malaysia Ke-10 yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),” katanya dalam satu kenyataan.

Naim berkata demikian merujuk kepada kenyataan media Warisan yang menyatakan bahawa pihak mereka telah berjaya menyelesaikan 17 perkara daripada 21 perkara yang dijadikan tuntutan menerusi Jawatankuasa Khas MA63 dan turut menyatakan kegagalan BN di dalam melaksanakannya.

Sebaliknya, jelas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan itu lagi, BN telah mengambil pendekatan mengembalikan majoriti hak-hak Sabah dalam bentuk peruntukan dan ekonomi.

“Sejak Najib Razak menjawat posisi Perdana Menteri Malaysia Keenam, beliau telah mengambil pendekatan untuk membahagikan majoriti peruntukan pembangunan dalam nisbah 1/3 Semenanjung Malaysia, 1/3 Sabah, dan 1/3 Sarawak bagi memastikan tahap kesejahteraan sosial dalam kalangan rakyat Sabah dapat ditingkatkan.

“Merujuk kepada Laporan Audit KKLW pada tahun 2010 hingga 2015, peruntukan diberikan oleh BN kepada Sabah adalah melangkaui 1/3 daripada jumlah keseluruhan bajet bagi memastikan permasalahan tradisional seperti jalan raya, bekalan air dan eletrik dapat diselesaikan di samping melaksanakan Lebuh Raya Pan Borneo (Yang tertunda disebabkan oleh Pakatan Harapan dan Warisan),” tegasnya.

Tambahnya lagi, untuk makluman, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Warisan Sabah, hanya tiga perkara daripada 21 perkara yang berjaya diselesaikan tanpa memerlukan tindakan lanjut iaitu tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan, serta isu pertanian dan perhutanan di Negeri Sabah.

“Baki 14 perkara masih memerlukan tindakan lanjut bagi diselesaikan, manakala empat perkara lain masih gagal diselesaikan oleh Parti Warisan Sabah walaupun menjadi sekutu Tun Mahathir yang telah menindas Sabah selama 22 tahun.

“Keengganan Shafie Apdal berada dalam haluan yang sejajar dengan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin menyebabkan Negeri Sabah gagal berada dalam landasan yang selari dengan perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan terutamanya dalam konteks pembangunan infrastruktur dan ekonomi pasca COVID-19 sehingga memberikan implikasi yang serius kepada rakyat Sabah. Apatah lagi untuk mencapai persepakatan berhubung MA63,” katanya.

BN tambahnya, di bawah pimpinan Najib telah menubuhkan variasi kemudahan bagi dinikmati oleh masyarakat di Sabah seperti Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Internet Desa, Kedai Rakyat 1 Malaysia, Klinik 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sebagainya.

“Dalam konteks ini, majoriti rakyat Negeri Sabah dapat menikmati hasilnya secara bersama berbanding bantuan COVID-19 Negeri Sabah yang mengalami kegagalan dalam pelaksanaannya.

“Adakah semua rakyat Sabah kategori B40 telah menerima bantuan COVID-19 Negeri Sabah? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.