Malaysia Sekat Kemasukan Pemegang Pas Jangka Panjang Dari India, Indonesia, Filipina

PUTRAJAYA, 1 Sept – Malaysia akan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina bermula 7 Sept ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara-negara berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

“Kalau dulu saya sudah umumkan beberapa kelonggaran diberikan (terhadap enam kategori berkenaan), tetapi melihatkan kepada kenaikan kes mendadak ini, kita membuat keputusan untuk mengenakan sekatan kemasukan,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Menteri Pertahanan itu berkata kerajaan akan turut mengkaji sekatan terhadap pemegang pas jangka panjang dari negara-negara lain berikutan kebimbangan berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara-negara yang mengalami musim sejuk.

“Perkara ini kita sedang perhatikan dan jika berlaku kenaikan mendadak maka mungkin kita akan keluarkan perintah yang sama terhadap negara-negara itu,” katanya sambil menambah segala keputusan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengenai rakyat Malaysia yang akan pulang dari negara musim sejuk, beliau berkata KKM telah diminta untuk mengemukakan perancangan serta pelan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19.

“…lebih membimbangkan ketika ini ada rakyat Malaysia yang akan pulang dari negara musim sejuk, kerajaan tidak boleh sekat mereka daripada pulang kerana ia bertentangan dengan perlembagaan.

“Saya percaya Akta Imigresen juga tidak boleh sekat rakyat Malaysia untuk pulang. Oleh itu, kita (kerajaan) akan lihat secara menyeluruh apa tindakan seterusnya mengenai hal ini,” jelasnya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata KKM bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang apabila musim sejuk melanda negara-negara berkenaan.

Mengenai cadangan menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar prosedur operasi standard PKPP, Ismail Sabri berkata perkara itu masih dalam kajian memandangkan ia melibatkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

“Ramai yang berpandangan kalau boleh dinaikkan (kompaun) sampai RM10,000. Di dalam Akta 342, kerajaan tiada pilihan iaitu maksimum kompaun adalah RM1,000 sahaja,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, perkara itu sedang diteliti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan bersama KKM. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.