Himpunan Bersolidariti… Cukup-cukuplah Dap Perlekeh Bangsa, Raja Kita – Fadzli

KUANTAN, 1 Sept. – “Cukup-cukuplah Dap perlekeh bangsa dan raja kita dan cukup-cukuplah Dap politikkan isu penerokaan tanah haram serta pelaksanaan tulisan Jawi di Pahang.”

Demikian tegas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berikutan situasi terkini dalam isu kerajaan negeri Pahang.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke ‘Himpunan Anti Peneroka Tanah Haram dan Penentang Tulisan Jawi’ yang dijadualkan pada 3 Sept. ini (Khamis), jam 5 petang, di perkarangan Rumah Rehat Raub.

“Sudah sampai masanya kita bersolidariti, bertindak dan bersuara bagi membuktikan kita ‘ada’ serta masih mempunyai kudrat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini beliau menjelaskan bahawa tidak pernah menafikan hak sah mana-mana pihak, termasuklah 128 penduduk Kg Sg Chalit yang terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina.

“Ini kerana mereka telah mengusahakan tanah tersebut dengan kerjasama PKPP (Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang) sejak tahun 1980-an lagi. Kelompok seperti ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri.

“… tetapi janganlah Dap memutar belit isu dan memanipulasi tindakan Kerajaan Negeri Pahang menguatkuasakan undang-undang ke atas peneroka tanah haram secara keseluruhannya.

“Dulu Dap cuba menjadi hero di Cameron Highlands, kini berulang pula di Raub. Ini bukan isu perkauman. Ini bukan isu politik. Ini soal undang-undang yang perlu ditegakkan. Tiada siapa melebihi undang-undang.”

Ujarnya, semua rakyat di negeri ini harus mendapat layanan yang adil, tidak kira kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Dalam soal ini, kami menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan Dap kini seakan mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian di Raub yang diterokai secara haram oleh beberapa pihak sedangkan langkah yang dibuat kerajaan negeri adalah melakukan pemutihan melibatkan seluruh negeri.

Sebelum itu, pada Julai, Adun Tras dari Dap iaitu Chow Yu Hui memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Langkah ini diambil sebagai maklum balas apabila gagal memenuhi arahan kerajaan negeri yang memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi.

Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.