Dua Opsyen Atas Kertas Di DUN Slim Sama Ada BN Atau Bebas ‘Dibayangi PH’ – Shahril

TANJUNG MALIM, 27 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat walaupun atas kertas terdapat tiga calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini, saingan yang sebenar adalah antara Barisan Nasional (BN) dan sahabat-sahabatnya serta Pakatan Harapan (PH) dengan sekutu-sekutunya.

Menurut beliau dua opsyen atas kertas itu bakal menjadi pilihan pengundi namun yang jelas untuk dipilih sebagai wakil rakyat dan tidak ada pilihan lain pada Sabtu ini sudah pasti calon BN, Mohd Zaidi Aziz demi kelangsungan dan kebaikan warga DUN Slim.

‘’Kenapa saya sebut tidak ada pilihan sedangkan ada pilihan…tiga pilihan atas kertas. Atas kertas calon kita Mohd Zaidi Aziz, dua lagi adalah calon yang bebas. Seorang adalah calon yang benar-benar bebas manakala seorang lagi tidak bebas mana. Calon (logo) Pokok…calon yang didokong, yang disokong dan yang diangkat oleh Pakatan Harapan.

‘’Dengan penuh penghormatan kepada seorang calon bebas, Santhara bermakna persaingan yang sebenar bukannya tiga orang tetapi antara BN dan sahabat-sahabatnya serta Pakatan Harapan dengan sekutu-sekutunya. Itu dua opsyen yang sebenarnya ada atas kertas.

‘’Jadi apabila kita melihat dua opsyen tersebut apa yang perlu kita buat…Kita perlu melihat secara objektif antara Pakatan Harapan dengan sekutunya dan kami BN dengan sahabat-sahabat kami. Kita lihat dalam tempoh masa yang adil, tempoh masa dua tahun kebelakangan ini yang memperlihatkan kegagalan Pakatan Harapan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentas Anak Muda yang diadakan di Felda Besout 1, di sini, hari ini. Turut berceramah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Shahar Abdullah serta ketua-ketua rakan pemuda parti komponen serta Dewan Pemuda Pas.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah PH selama 22 bulan sebenarnya gagal mensejahterakan rakyat dan keadaan itu dapat dilihat dengan jelas dan terpampang untuk disaksikan oleh rakyat.

‘’Siapa pun memerintah kerja utama kerajaan adalah untuk mensejahterakan rakyat baik kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat. Dalam soal ini kita ambil mudah adakah ekonomi rakyat lebih baik….adakah rakyat lebih rasa banyak pendapatan, senang dapat kerja.

‘’Sebelum PH menang mereka zikir tiap-tiap hari BN turun ringgit naik..namun selama 22 bulan memerintah ringgit ada naik atau tidak…tidak ada. Yang kekal ada ringgit itu lemah demi lemah. Apabila kita import barang kalau ringgit lemah maknanya import lebih mahal maknanya apabila dijual kepada rakyat Malaysia harga barang itu harga akhirnya tinggi dan mahal.

‘’Soal mensejahterakan rakyat bukan hanya matawang… jika saya bercakap di Felda Besout kita dapat lihat selama 22 bulan mereka memerintah mereka bergaduh dengan negara India, China dan semua negara…apa yang jadi adalah negara-negara berkenaan tidak mahu import sawit kita. Apa yang jadi sawit kita harga menjunam  dan yang sakit dan yang merana siapa jika bukan peneroka mahu pun pekebun-pekebun kecil.

‘’Selain daripada harga komoditi….mereka juga menjanjikan kesejahteraan rakyat dengan peluang  pekerjaan….sejuta peluang pekerjaan. Itulah yang mereka jual pada masa sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) namun sebaliknya pula yang berlaku. Akhirnya apa jadi….’’ ujarya.

Tambah beliau lagi, PH selama 22 bulan dan sekutu-sekutu mereka tidak runsing dan tidak fikir untuk mensejahterakan rakyat dan bagaimanakah untuk memperbetulkan keadaan  serta bagaimana untuk perbaiki dengan rakyat  jika janji tidak tertunai.

‘’Apa yang mereka fokus 22 bulan yang kita lihat dan jangan kita lupa mereka tiap-tiap hari menyalahkan BN…semua salah BN dan semua salah PM sebelum ini. Harga barang tidak turun salah BN, harga minyak tidak turun salah BN…tidak boleh nak bagi PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) percuma hutang banyak. Itu alasan mereka salah BN.

‘’Waktu jadi kerajaan berlagak macam pembangkang dan tiap-tiap hari masih nak menyalahkan BN. Jadi saya mengajak pengundi di Slim ini kalau PH nak berlagak macam pembangkang maka 29 Ogos ini dan mana-mana pilihan raya selepas ini kita ‘kuburkan’ mereka dan biar mereka jadi pembangkang selama-lamanya,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.