Dewan Rakyat Lulus Empat Usul Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Dewan Rakyat meluluskan empat usul yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan hari ini yang melibatkan pendanaan kerajaan serta percukaian.

Usul-usul yang diluluskan sebulat suara adalah Pemindahan Wang Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) kepada Kumpulan Wang Pembangunan di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), Perintah Duti Kastam, Perintah Duti Eksais dan Perintah Cukai Jualan.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah ketika membentangkan usul Pemindahan Wang Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) berkata kerajaan telah memindahkan sebanyak RM25.8 bilion wang terimaan Akaun Pinjaman Disatukan daripada baki semasa MGII iaitu RM12.50 bilion bagi tempoh sehingga 31 Disember 2019 dan RM13.30 bilion bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020.

Pindahan wang terbitan tersebut melibatkan Akaun Pinjaman Yang Disatukan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan untuk menampung keperluan perbelanjaan pembangunan.

“Seksyen 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 memperuntukkan bahawa terimaan daripada MGII hanya boleh dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dengan resolusi,” katanya.

Kumpulan Wang Pembangunan ialah satu Kumpulan Wang Amanah Kerajaan yang ditubuhkan mengikut Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 bagi tujuan membiayai projek pembangunan.

Antara sumber dana dalam Akaun Kumpulan Wang Pembangunan adalah melalui pindahan dari Akaun Pinjaman Yang Disatukan.

Sekuriti pinjaman berasaskan Syariah ini telah diterbitkan oleh kerajaan di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan antara tujuan utama terbitan berasaskan Syariah itu adalah bagi meningkatkan pembangunan pasaran kewangan Islam.

Selain itu, Mohd Shahar turut membentangkan Perintah Duti Eksais (Pengecualian) (Pindaan) (No 3) 2019 yang mengecualikan syarat mengemukakan laporan makmal mengenai jumlah kandungan gula dalam produk jus buah dan sayuran pekat.

Bagi produk minuman lain, pengilang atau pengimport perlu mengemukakan laporan makmal kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang mengesahkan bahawa jumlah kandungan gula adalah di bawah nilai ambang yang ditetapkan untuk membuktikan bahawa produk tersebut tidak tertakluk kepada duti eksais.

“Perintah ini telah berkuat kuasa mulai 1 Disember 2019,” katanya.

Bagi Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) (Pindaan) 2019, Mohd Shahar berkata pindaan itu melibatkan Jadual Pertama, Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 yang mengandungi senarai barang yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus termasuk produk kaca keselamatan dan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Sementara itu, Pewartaan Perintah Duti Kastam (Pangkor) 2019 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020, bertujuan mengenakan duti import ke atas kenderaan bermotor berdasarkan kadar duti semasa yang berkuat kuasa di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.