Kerajaan Hasrat Lahir Lebih Ramai Pakar Dalam Bidang Kesuburan – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kesuburan untuk menjadikan negara sebagai antara destinasi pelancongan perubatan dan tempat rujukan rawatan kesuburan di rantau ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kewujudan Pusat Reproduktif Maju (ARC), di Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pusat rujukan “onkofertility” pertama di Malaysia dilihat permulaan yang baik terhadap usaha itu.

“Industri kesuburan merupakan satu daripada tiga bidang tertinggi dalam industri pelancongan kesihatan dan perubatan. Yang pertama melibatkan rawatan kardiovaskular (rawatan jantung), onkologi (kanser) dan fertility (kesuburan).

Kerajaan menyambut baik kewujudan pusat rujukan yang pertama di Malaysia ini yang juga turut menyediakan perkhidmatan konservasi ataupun pembekuan tisu ovari. Sehubungan itu kita menyarankan supaya pihak universiti bukan sahaja melahirkan bakat dalam bidang ‘onkofertility’ tetapi juga saintis yang boleh terlibat dalam bidang genetik dan kesuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Fertiliti Preservasi Malaysia (MSFP) dan Perkhidmatan Preservasi Tisu Ovari serta penamaan Pusat Reproduktif Maju (ARC) sebagai pusat rujukan “onkofertility” pertama di Malaysia di Kompleks Pendidikan Tuanku Ja’afar, di sini hari ini.

ARC sebelum ini dikenali sebagai unit Medical Assisted Conception (MAC) dan ia bermula hanya daripada sebuah unit kecil yang menyediakan perkhidmatan permanian beradas pada 1993 sebelum menawarkan dan menyediakan perkhidmatan bayi tabung uji 1997.

Unit MAC kemudian telah dinaik taraf pada 2011 sebagai salah satu pusat kecemerlangan hospital dan dalam tempoh tiga tahun terakhir, pusat itu secara purata telah menjalankan antara 300 hingga 350 kitaran bayi tabung uji dan 300 kes permanian beradas.

Sementara itu dalam ucapannya Adham berkata perkhidmatan pembekuan tisu ovari – “Ovarian Tissue Cryopreservation” (OTC) – merupakan satu perkhidmatan baharu di Malaysia dan pelancaran itu merupakan langkah terbaik sebelum diperkenalkan secara menyeluruh di negara ini.

Adham berkata perkhidmatan OTC amat penting untuk seorang wanita yang menghidap penyakit kanser bagi memboleh tisu ovari digunakan semula selepas seseorang pesakit selesai mendapatkan rawatan kanser seperti kimoterapi.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya menaikkan denda bagi kesalahan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000 beliau berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu.

“Kita pertimbangkan juga penerimaan masyarakat sebelum dibawa ke kabinet untuk dibahas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.