Dap, PH Janji Berdentam-Dentum… Tiba-Tiba ‘Kantoi’ Tipu Manifesto – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, bukan soal betul atau salah cara pemberian kontrak rundingan terus yang dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng tetapi apa yang ditekankan adalah soal janji Pakatan Harapan (PH) yang begitu lantang bersuara kononnya di bawah pentadbiran mereka tiada lagi ‘direct nego’ (runding terus) yang diamalkan.

Jelas beliau, kini apabila sudah terbongkar cerita sebenar maka PH perlu menjawab dan jangan cuba untuk lari dari isu sebenar.

“Semua nak lari dari isu sebenar bila kantoi isu 101 projek ‘direct nego’ kerajaan PH, bukan soal betul atau salah cara perolehan tersebut atau isu zaman BN atau zaman PH lebih banyak, tapi isu janji Dap PH berdentam-dentum kononnya zaman mereka semua telus dan open tender… tiba-tiba kantoi,” ujar beliau menerusi status yang dimuat naik di ‘twitter’.

Untuk rekod, baru-baru ini Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) COVID-19 2020 di Dewan Rakyat telah mendedahkan mengenai 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus yang diluluskan oleh PH sepanjang 22 bulan mentadbir negara.

Guan Eng cuba membela diri dengan mengatakan bahawa pemberian kontrak secara rundingan terus itu mendapat persetujuan Kabinet namun ianya telah disanggah oleh Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali dan dipersetujui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Selain itu, dalam buku Harapan yang menjadi sebahagian manifesto PH; janji yang ke-23 menyatakan, ‘untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan PH akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar’.

Ekoran daripada pendedahan ini, beberapa pihak telah pun membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) agar isu ini disiat segera. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.