PRK Slim: Lihatlah Penduduk Langkawi, MP Sibuk Rebut Kuasa… Nasib Rakyat Tidak Dipeduli

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Mana hilangnya Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad? Penduduk Langkawi hanya mampu melihat Ahli Parlimen mereka itu di kaca televisyen dan media tempatan sibuk berebut kuasa namun nasib rakyat yang mengundinya langsung tidak dipedulikan.

Justeru, Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman meminta Tun Dr. Mahathir agar turun padang menjenguk dan melihat nasib penduduk di Langkawi dan bukannya sibuk mencatur langkah bagaimana mahu berkuasa semula.


“Ternyata Tun kembali aktif dalam dunia politik semata-mata mahukan kuasa dan bukannya mahu membantu rakyat. Sebab itu sehingga kini, Tun lebih banyak menyusun strategi demi kepentingan diri sedangkan masalah rakyat di Parlimennya langsung tidak diendahkan.

“Matlamat Tun bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan diri dan anak-anak sahaja,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Hisham Suhaily, umum mengetahui purata pendapatan penduduk di pulau itu adalah hasil daripada pelancongan dan akibat daripada pandemik COVID-19, sudah pasti pendapatan penduduk Langkawi terjejas teruk.

“COVID-19 telah menjejaskan kehidupan rakyat terutama pengusaha pelancongan, tapi adakah Tun mengambil peduli akan perkara ini? Kalaupun Tun ambil peduli mungkin hanya kepada kroni sedangkan rakyat marhaen terus hidup menderita.

“Permasalan di Langkawi tidak di bawa ke atas. Apa yang Tun pentingkan hanyalah kuasa… kuasa… kuasa.

“Jika di kawasan Parlimen sendiripun tidak mampu dijaga dan di’perjuwang’kan, bagaimana nak mem’perjuwang’kan rakyat di Malaysia. Sebab itu juga Tun meletakkan proksi di PRK Slim. Ini semua hanyalah kerana kuasa dan bukannya mahu membela nasib rakyat,” bidas beliau.

Untuk rekod, Pulau Langkawi sering dikaitkan dengan Tun Mahathir yang dikatakan begitu berjasa membangunkan pulau itu ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (BN).

Namun setelah Tun bersara, Pulau Langkawi terus dibangun dan dimajukan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tetap di bawah BN. Antara jasa Najib Razak adalah melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM247 juta membabitkan 1,000 unit kediaman yang akan dibina di Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi.

Ia menggunakan konsep sewa beli bagi membolehkan mereka tiada pendapatan tetap pun membeli. Di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pula, Kerajaan BN ketika itu memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion bagi projek menaik taraf pelbagai infra rakyat termasuk hospital, sistem bekalan air bersih, jeti nelayan dan jalan.

Namun setelah Langkawi bukan lagi di bawah pentadbiran BN, kehidupan penduduk di situ mula terjejas apatah lagi apabila negara dilanda COVID-19 dan ditambah lagi sikap wakil rakyat yang mereka harapkan boleh membawa suara dan permasalahan mereka pula terlalu ‘sibuk’ dengan agenda peribadi.

“Kini, rakyat Langkawi menagih ‘kasih’ Ahli Parlimen mereka… Pulanglah Tun ke tanah Langkawi dan jenguklah rakyat,” gesa Hisham Suhaily lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.