Guan Eng Beretorik Juara Rakyat… 22 Bulan PH Tak Pernah Pedulikan Rakyat – Jazlan

KOTA BHARU, 24 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membidas bekas Menteri Kewangan dari Dap, Lim Guan Eng serta Pakatan Harapan (PH) yang beretorik kononnya prihatin kepada kebajikan rakyat.

Sedangkan tegas Ahli Parlimen Machang itu, selama 22 bulan PH menjadi kerajaan, mereka langsung tidak mempedulikan kebajikan rakyat dan hanya pandai menjual aset-aset negara tinggalan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya itulah pembangkang, wajah sebenar Dap. Dalam suasana apapun mereka nak menunjukkan mereka menjadi juara kepada rakyat. Tetapi persoalannya dalam tempoh 22 bulan menjadi kerajaan, Menteri Kewangan pada ketika itu adalah Lim Guan Eng. Kita tidak dapat lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan PH selama 22 bulan lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan BN sebelum itu.

“Dan hari ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan satu jumlah pakej rangsangan yang tidak dapat dinafikan dirasai oleh semua golongan masyarakat dalam negara kita, tidak ada satu kumpulan pun tertinggal.

“Tiba-tiba beliau bercakap di Parlimen kononnya seolah-olah beliau membela rakyat sekiranya kita menambah atau mengumumkan satu lagi pakej rangsangan tambahan, maka mereka akan memberi sokongan,” katanya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan baru-baru di Parlimen, Guan Eng berkata pembangkang akan menyokong Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 2020) jika kerajaan menambah sekali ganda daripada RM45 bilion suntikan fiskal itu menjadi RM90 bilion.

Ulas Ahmad Jazlan lagi, perkara utama yang harus ditekankan adalah usaha kerajaan untuk terus-menerus membantu rakyat perlulah diberi sokongan dari semua pihak.

“Soalan pokoknya, pertama, selama mereka memerintah 22 bulan tidak adapun perkara yang sebagaimana dibuat oleh kerajaan hari ini dibuat oleh mereka. Yang kedua, kita yakin kalau pandemik COVID-19 ini berterusan sudah tentu kerajaan akan mengumumkan satu lagi pakej baharu. Ini pada jangkaan saya. Sudah tentu Perdana Menteri akan membentangkan lagi di Parlimen melalui Kementerian Kewangan untuk satu lagi pakej rangsangan tambahan.

“Yang pentingnya, apa yang kita lakukan hari ini yang dibentang, yang ada di meja di Parlimen hari ini perlu mendapat sokongan dari semua pihak bukan masa kita nak beretorik dalam politik. Sokong dulu yang kita buat ini. Dahla dia tak buat sebelum ini, kita yang buat…sokong dulu ini,” gesanya lagi.

Kerana itulah katanya cadangan untuk mengadakan tambahan terhadap pakej rangsangan adalah perkara yang berikutnya.

“Sebab itulah kenyataan Menteri Kewangan jelas bahawasanya had statutori terhadap kadar hutang negara berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) ini perlu dinaikkan kepada tahap 60 peratus. Sewaktu PN mengambil alih kerajaan, kita hanya mempunyai baki 0.6 peratus bererti 54.4 peratus sudahpun dipenuhi oleh PH. Had statutori itu hanya 0.6 peratus.

“Sebab itulah kita akan membentangkan di Parlimen untuk membolehkan kita melakukan pinjaman-pinjaman, untuk apa? Untuk kita membantu rakyatlah… Jadi tidak perlulah nak mengajar kita apa yang perlu kita buat untuk bantu rakyat kerana jelas kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat. Kita bina berasaskan kepada sokongan rakyat walaupun tidak melalui pilihan raya, ini jelas kepada kita,” katanya.

Ahmad Jazlan juga yakin yakin sekiranya Parlimen dibubarkan rakyat akan memberi mandat kepada kerajaan yang sedia ada ini dan bukan lagi kepada PH. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.