Bekalan Elektrik Di Sabah… Kerajaan Belanja RM26.4 Billion Dari 2001 Hingga 2018 – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sejumlah RM 26.4 bilion bagi tempoh 2001 hingga 2018 dalam bentuk geran, pinjaman dan subsidi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah.

Shamsul Anuar Nasarah

Jelas beliau, usaha dan inisiatif Kerajaan ini telah menunjukkan pencapaian positif di mana kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah yang diukur melalui Indeks Purata Tempoh Gangguan (System Average Interruption Duration Indeks – SAIDI) telah mengalami penurunan yang ketara iaitu daripada 4,109 minit/pengguna/tahun yang direkodkan pada tahun 2005 kepada 205 minit/pengguna/tahun pada tahun 2019.

“Semalam saya telah mengadakan lawatan dan mendapat serta mendengar taklimat Sabah Elektrik Sdb Bhd ( SESB). Saya juga telah meninjau pelaksanaan projek PMU Tanjung Lipat, Likas Kota Kinabalu.Bersama saya ialah CEO SESB dan Pegawai Kanan TNB.

“Walaupun kadar SAIDI ini telah menunjukkan penurunan yang agak ketara, Kerajaan sedar bahawa ia masih lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar SAIDI di Semenanjung Malaysia. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited untuk meneruskan usaha bagi menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada pengguna-pengguna di Sabah,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Shamsul yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, untuk tujuan itu Kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan kualiti bekalan dan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dengan memastikan penjanaan elektrik yang mencukupi, mengukuhkan sistem penghantaran dan pembahagian serta memastikan kemampanan operasi SESB selaku syarikat utiliti di Sabah.

“Antara usaha yang telah diambil termasuklah menyediakan geran berjumlah RM2.3 bilion dan pinjaman berjumlah RM1.14 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk melaksanakan projek-projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dan SESB. Pelaksanaan projek-projek ini akan diteruskan sebagai projek sambungan di bawah RMK-12.

“Bagi memastikan kemampanan operasi SESB pula, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan subsidi yang besar berjumlah RM3.7 bilion bagi tempoh 2012 sehingga 2019, merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar dan subsidi sokongan tarif. Subsidi ini disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menampung kos pembekalan elektrik di Sabah yang jauh lebih tinggi daripada kadar tarif yang dikenakan kepada pengguna.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyerahkan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah dan bersedia meneruskan rundingan dan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk merealisasikan hasrat rakyat Negeri Sabah ini,” ujar beliau lagi.

Mengulas lebih lanjut, bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan dengan baik, Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli telah membentuk Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan, meneliti, serta membuat pelbagai keputusan penting berkaitan perkara ini.

“Apa yang kementerian lakukan adalah untuk kepentingan rakyat kerana kepentingan rakyat sentiasa diutamakan,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.